masih lemah Kristine Grodem

Penyelam yang selamat alami trauma, masih lemah

Oleh RAHIMI MOHAMAD

KEADAAN jurulatih penyelam warga Eropah, Kristine Grodem yang ditemukan selamat selepas hilang ketika melakukan aktiviti itu bersama tiga pelajarnya berhampiran Pulau Tokong Sanggol, Mersing masih lemah.

Malah, wanita berasal dari Norway yang berusia 35 tahun itu juga masih trauma dengan kejadian menimpanya bersama tiga lagi penyelam yang belum ditemui sehingga kini.

Tiga lagi mangsa yang masih hilang ialah remaja perempuan warga Perancis, Alexia Alexandria, 18, lelaki Britain, Adrian Peter, 46, dan anak lelakinya, Nathen Renze, 14, yang merupakan warga Belanda.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing berkata, jurulatih itu perlu diberi ruang seketika untuk pulih sebelum siasatan menyeluruh terhadapnya boleh dilakukan bagi mengesan tiga lagi mangsa.

“Kami sudah bertemu dengan wanita itu semalam, dia masih dalam keadaan tidak stabil untuk bekerjasama dengan kita kerana masih lemah dan trauma.

“Ekoran itu siasatan menyeluruh masih belum dapat dilaksanakan setakat ini,” katanya pada sidang akhbar di Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) Jeti Awam Majlis Daerah Mersing, hari ini.

Semalam, Kristine yang merupakan jurulatih kepada tiga penyelam lain yang masih hilang ditemukan selamat dan dibawa menaiki helikopter ke Stadium Mini Mersing pada pukul 12.05 tengah hari sebelum dirawat di Hospital Mersing.

Wanita yang mengendalikan latihan renang untuk lesen ‘Advance Open Water’ itu ditemukan pada kedudukan 30 batu nautika dari lokasi dipercayai hilang oleh sebuah bot tunda yang dalam perjalanan dari Indonesia ke Thailand, kira-kira pukul 8.15 pagi.

Sementara itu, Cyril Edward meminta masyarakat tidak membuat sebarang spekulasi atau fakta tidak tepat berhubung kejadian terbabit kerana mengganggu proses pencarian serta emosi keluarga mangsa.

“Kita tidak mahu perkara seperti itu berlaku. Jika ia dikesan sehingga ganggu siasatan, pihak polis akan ambil tindakan tegas dengan undang-undang sedia ada kepada sesiapa sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menambah aset udara bagi mencari tiga lagi mangsa yang masih hilang selain meluaskan kawasan pencarian bagi aset laut melibatkan kawasan seluas 335 batu nautika dan 739 batu nautika di udara.

Katanya, pencarian melibatkan empat pesawat udara melibatkan dua helikopter milik Maritim Malaysia dan masing-masing sebuah milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Manakala bagi aset permukaan laut ada 11 bot daripada pelbagai agensi. Terdapat juga sokongan diberikan oleh pihak awam seperti nelayan dan penglibatan 10 jet ski dari operator pelancongan berhampiran.

“Jadi kita harapkan dengan tambahan pesawat dan aset-aset lain, jangkauan pencarian akan lebih jauh dan peluang menemui mangsa lebih tinggi,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *