Oleh RAHIMI MOHAMAD
KETIADAAN lampu atau ‘beacon light’ terhadap baki tiga lagi penyelam warga Eropah yang masih hilang menyukarkan misi pencarian mereka pada waktu malam selepas dipercayai hanyut dibawa arus kuat ketika menyelam berhampiran Pulau Tokong Sanggol, Mersing.
Perkara itu disahkan sendiri oleh jurulatih selaman yang ditemukan selamat, Kristine Grodem, 35, kepada pasukan penyelamat yang kini sedang bertungkus lumus mencari tiga pelajarnya pada hari ketiga Operasi Carilamat.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata, faktor itu menyebabkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditangguhkan pukul 6.30 petang selain faktor cuaca yang menghadkan daya penglihatan.
“Bagaimanapun, kita memang ada aset sepanjang masa di tengah laut sekitar perairan Mersing yang akan membantu operasi dan menyelamat secara berterusan dilakukan sepanjang masa.
“Selain itu, fokus pencarian pasukan penyelamat yang turut disertai pelbagai agensi juga akan dilakukan melalui teknik selaman dan penggunaan aset-aset yang dimiliki,” katanya ketika ditemui di Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) Jeti Awam Majlis Daerah Mersing, di sini.
Khairul Nizam berkata, operasi hari ini yang dimulakan sejak awal pagi tadi turut melibatkan sebuah pesawat Maritim Malaysia yang digerakkan sejak pukul 6.30 pagi untuk meronda di kawasan pencarian.
“Operasi hari ini juga diteruskan bermula pukul 3 pagi melibatkan aset bot milik Maritim Malaysia iaitu Perkasa 31, lima bot Gerup Gerak Khas (GGK) dan Pasukan Polis Marin sehingga ke bahagian selatan di perairan Sedili
“Keluasan sektor pencarian aset laut adalah kira kira 335.79 batu nautika persegi, sementara sektor pencarian udara pula mencapai keluasan sehingga 739.64 batu nautika persegi melibatkan empat aset,” katanya.
Semalam, Kristine, 35, yang juga jurulatih kepada tiga mangsa berkenaan ditemukan terapung, lengkap berpakaian dengan kelengkapan menyelam oleh sebuah bot tunda yang dalam perjalanan dari Indonesia ke Thailand.
Usaha kini untuk mencari baki tiga lagi mangsa iaitu Alexia Alexandra 18, warga Perancis; Adrian Peter, 46, warga British dan anaknya, Nathen Renze, 14, warga Belanda yang kesemua mereka sedang mengikuti latihan penyelam untuk memperoleh lesen selaman ‘Advance Open Water’.
Leave a Reply