RON95: Hanya boleh ambil tindakan terhadap pengusaha

Oleh RAHIMI MOHAMAD

HANYA pengusaha stesen minyak yang boleh dikenakan tindakan denda sehingga RM1 juta atau hukuman penjara tidak lebih tiga tahun sekiranya didapati bersalah menjual minyak petrol RON95 kepada pemilik kenderaan berpendaftaran asing.

Namun, mereka atau individu warga asing termasuk rakyat Singapura yang melakukan kesalahan itu tidak boleh dikenakan apa-apa tindakan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor, Mohd. Hairul Anuar Bohro berkata, peraturan itu sudah jelas diterangkan kepada pengusaha stesen minyak ketika awal-awal mereka mahu mendapatkan lesen perniagaan.

Katanya, pengusaha stesen minyak perlu mengambil langkah proaktif bagi mengekang perkara berkenaan termasuk memantau kenderaan-kenderaan yang berkunjung ke premis masing-masing.

“Tindakan hanya kepada pengusaha stesen minyak dan bukannya terhadap pemilik kenderaan, jadi kita minta pengusaha mematuhin peraturan yang telah dikeluarkan dengan jelas itu,” katanya selepas memantau sebuah stesen minyak di Jalan Skudai, Johor Bahrum, hari ini.

Sebelum ini, tular beberapa gambar dalam media sosial yang menunjukkan kenderaan bernombor pendaftaran Singapura mengisi minyak jenis RON95 dipercayai di stesen minyak berkenaan.

Isu tersebut kembali timbul sejak Jumaat lalu apabila sempadan darat kedua-dua negara dibuka semula seperti sebelum pandemik Covid-19 melanda bagi mereka yang lengkap vaksin tanpa perlu menjalani kuarantin wajib.

Sejak rakyat Singapura kembali membawa kenderaan mereka ke negara ini, warganet mula berkongsi gambar-gambar yang jelas memaparkan penduduk republik itu mengisi minyak RON95 yang menggunakan nozel berwarna kuning.

Sehubungan itu, Mohd. Hairul Anuar meminta orang ramai mengambil bukti bergambar berserta butiran lengkap kejadian tersebut sekiranya mereka ternampak warganegara Singapura mengisi minyak petrol jenis RON95 ke dalam kenderaan masing-masing.

“Kita minta orang awam yang mahu membuat aduan tentang salah guna petrol RON95 ini kemukakan bukti dengan butiran yang jelas termasuk lokasi dan masa kejadian agar tindakan dapat diambil.

“KPDNHEP Johor komited untuk membanteras kesalahan tersebut kerana petrol RON95 adalah hak warganegara dan kami akan pastikan hak pengguna di negeri ini dilindungi,” jelasnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *