Lapan kedai hangus terbakar

Oleh RAHIMI MOHAMAD

HARI keempat Ramadan memberi ujian kepada lapan pemilik kedai di Jalan Alsagoff, Pontian apabila premis mereka musnah 100 peratus dalam kebakaran, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, antara kedai yang terbakar adalah menjual barangan persiapan haji dan umrah, tudung, basikal dan bengkel motosikal.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Azhar Abd. Jalil berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.47 petang memaklumkan kebakaran rumah kedai yang berusia lebih 40 tahun itu.

Menurut beliau, seramai 24 anggota BBP Pontian, BBP Pontian Baru dan BBP Pekan Nanas terlibat dalam operasi pemadaman api dengan bantuan tiga jentera FRT dan satu Lori tangki.

“Lapan kedai terbabit telah hangus 100 peratus, manakala dua kedai batu empat tingkat tidak terjejas”, katanya.

Menurut Azhar, api marak begitu cepat disebabkan struktur bangunan separuh kayu dan batu, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan setelah peniaga dan pekerja yang berada dalam premis berjaya menyelamatkan diri.

Sementara itu, seorang pekerja kedai tudung, Khadijah Misnon, 21, berkata, kejadian terbabit berlaku terlalu pantas sehingga menyebabkan barangan yang diletakkan di dalam stor tidak sempat diselamatkan.

“Tiba-tiba pemilik kedai barangan haji dan umrah yang terletak di sebelah kedai kami memanggil saya dan dua lagi rakan supaya segera menghubungi bomba.

“Dia beritahu, terdengar bunyi letupan yang kuat. Tidak lama selepas itu, kami nampak asap. Kami cuba selamatkan barang di dalam kedai sambil turut dibantu orang awam,” katanya.

Sementara itu, Noratika Tik, 24, yang merupakan cucu kepada pemilik kedai barangan haji berkata, kedai neneknya mula diusahakan sejak 12 tahun lalu dan warga emas itu kini berada dalam keadaan trauma.

“Stok barangan umrah dan haji seperti songkok, kurta, selipar, kain, tudung, telekung dan sebagainya yang baharu dibeli telah hangus terbakar. Hanya dapat selamatkan sedikit dengan bantuan orang ramai.

“Dianggarkan kerugian mencecah RM50,000 setakat ini dan kami pun tidak pasti apa puncanya,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *