Lelaki warga Myanmar didakwa bunuh lelaki senegara

SEORANG lelaki warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Majistret Gerik hari ini atas tuduhan membunuh seorang lelaki senegaranya, Mac lalu.

Namun, tiada pengakuan direkodkan apabila pertuduhan terhadap So To Nay, 26, dibacakan di hadapan Majistret Norhayati Mohammad Nasroh, lapor Astro Awani.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa telah melakukan bunuh menyebabkan kematian seorang lelaki Myanmar yang dikenali sebagai So Ko.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Lot 9256 Padang Sembai, Mukim Gerik antara pukul 12.30 tengah hari hingga 3.30 petang, 19 Mac lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Tertuduh bersama-sama seorang lagi lelaki Myanmar, Min Aye Min Win, 34, turut didakwa di bawah Seksyen 6 (I) (C) Akta Imigresen 1959/ 63 kerana memasuki Malaysia tanpa memiliki pas yang sah.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di kebun getah Padang Sembai, kira-kira pukul 4.30 petang, 21 Mac lepas.

Jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga tidak lebih enam sebatan.

Tiada jaminan ditawarkan kepada kedua-dua tertuduh.

Mahkamah juga menetapkan 17 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi memanggil jurubahasa Myanmar.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Fairoz Abd Mutalib manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *