HARI ini, iaitu 1 Ramadan 1443 Hijrah, semua umat Islam di Malaysia mula menjalani ibadah puasa.
Seperti biasa kedatangan bulan yang penuh barakah ini disambut dengan penuh keceriaan dan ketakwaan.
Bagi golongan yang berpuasa, mereka bukan sahaja menghadapi ujian menahan lapar dan dahaga semata-mata, sebaliknya sentiasa mengawal nafsu daripada melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan ibadah itu sendiri.
Memandangkan Ramadan dikenali juga sebagai bulan beribadat, kebiasaanya masjid- masjid dan surau sama ada di kampung atau bandar mula menjadi tumpuan ramai terutamanya pada sebelah malam.
Apabila tiba bulan Ramadan, ada yang tidak pernah menjengah masjid dan surau pada hari biasa, kelibat mereka mula kelihatan turut berada dalam saf untuk menunaikan solat tarawih.
Apapun tafsiran dan persepsi terhadap mereka, kita tidak seharusnya terlalu cepat menghukum dengan penilaian negatif atau tafsiran tersirat yang akhirnya turut mengurangkan pahala puasa kita.
Kalau bercakap soal Ramadan dahulu dan sekarang, kita mendapati ia mempunyai banyak perbezaan termasuk dari segi sambutan, suasana dan kemeriahannya.
Ketika penulis zaman kanak-kanak dahulu, orang tua tua pernah memberitahu, tidak perlu takut untuk ke surau bersendirian pada bulan Ramadan kerana semua hantu dan syaitan telah dirantai.
Sebab itulah walau dalam keadaan suasana gelap gelita kerana ketika itu belum ada cahaya elektrik, namun semangat untuk menunaikan solat Terawih bersama rakan-rakan mengatasi perasaan takut.
Saat paling menyeronokkan apabila berpeluang moreh dengan menikmati pelbagai juadah yang dibawa penduduk kampung seperti akok, nekbat, bahulu, puteri mandi, ondeh-ondeh dan tepung pelita.
Selepas selesai solat tarawih, penulis bersama rakan-rakan sempat pula bermain sembunyi sembunyi dan sekitar pukul 9. 30 malam kami semua masing-masing sudah berkurung di dalam rumah bersama keluarga.
Selepas itu tiada kelihatan anak-anak muda yang meronda dan berpelesiran sehingga larut malam, apatah lagi melibatkan remaja wanita seperti mana yang berlaku pada hari ini.
Tidak keterlaluan kalau dikatakan bahawa ada dalam kalangan anak-anak muda kita sekarang ini bukan sahaja semakin hilang arah dan nilai-‘nilai moral, tetapi juga membabitkan amalan dan gaya hidup.
Kehidupan mereka terlalu bebas, nafsu serakah dan kemahuan seolah olah tidak terkawal, menyebabkan ada di antaranya seperti orang hilang pedoman.
Walaupun ketibaan bulan Ramadan, terdapat di antara mereka masih melakukan aktiviti tidak bermoral seperti perlumbaan motosikal haram, melepak, berpelesiran sehingga larut malam bersama pasangan masing-masing.
‘Trend’ anak-anak muda kita yang keluar bermotosikal secara beramai-ramai berarak ke hulu hilir tanpa arah tujuan melewati tengah malam sehingga ayam mula berkokok pada bulan puasa amat menyedihkan.
Ketika orang lain menyambut Ramadan di masjid dan surau, sebaliknya ada anak-anak muda kita berpesta dan berada di pusat-pusat hiburan.
Apa yang membimbangkan gejala sosial lain seperti ragut judi, pecah rumah, rogol seakan meletakkan penyakit sosial generasi sekarang lebih bahaya daripada wabak COVID-19.
Justeru, dalam menangani masalah ini, semua pihak khususnya para ibu bapa tidak seharusnya membiarkan anak-anak mereka terlalu bebas keluar pada waktu malam.
Kalau hantu dan syaitan telah dirantai pada bulan Ramadan ini, marilah sama-sama kita turut merantai nafsu dan kemahuan anak-anak kita daripada terus bermaharajalela di luar rumah.
Bawalah anak-anak bersama mengimarahkan masjid dan surau untuk menunaikan solat tarawih sepanjang bulan yang penuh keberkatan ini.
Leave a Reply