dua beranak

Dua beranak sebak bertemu semula di sempadan Malaysia-Thailand

Oleh RIZQI ZABIDI

DAKAPAN erat dengan deraian air mata menjadi permulaan kepada pertemuan kembali dua beranak.

Noor Asyikin Bunnawi, 31, dan ibunya, Siti Zubaidah Abdullah, 62, setelah lima bulan terpisah akibat penutupan sempadan negara sebelum ini.

Sebaik sahaja bertemu berhampiran pintu sempadan tanah air, dua beranak itu saling berdakapan dalam tempoh cukup lama hingga masing-masing seperti hilang kata-kata dek kerana terlalu gembira dapat berjumpa.

Menurut Noor Asyikin, ibunya sebelum ini mendapati kebenaran khas untuk pulang ke kampung halaman di Trang, Thailand pada Oktober lalu dengan ditemani emak saudaranya, Pawana Che Wa Abdullah, 67, kerana neneknya meninggal dunia.

“Selepas itu ibu dan kakaknya itu tidak dapat pulang kembali ke tanah air kerana sempadan negara ditutup. Sejak itu saya terlalu rindukan ibu kerana ibu sememangnya tinggal bersama dengan saya dan kami tidak pernah berjauhan.

“Kami sebelum ini berusaha dengan pelbagai cara untuk membawa ibu kembali ke Malaysia tetapi tidak berjaya. Justeru apabila dapat kembali bertemu dengannya hari ini, sukar untuk saya gambarkan perasaan itu,” katanya.

Tambah jururawat di Hospital Shah Alam itu, dia tidak lena tidur malam tadi kerana bimbang jika terdapat sebarang masalah yang menghalang ibunya untuk keluar dari Thailand dan melangkah ke negara ini.

“Saya sebenarnya risau kerana ibu sudah tiga kali terpaksa menangguhkan temu janji di Institut Jantung Negara (IJN) kerana terkandas di Thailand.

“Kini saya cukup seronok dapat kembali bersama dengan ibu termasuk menyambut ketibaan Ramadan dengannya di sini,” katanya.

Dalam pada itu, Siti Zubaidah berkata, dia juga tidak dapat tidur nyenyak semalam kerana tidak sabar untuk bertemu dengan tiga anak dan lima cucunya yang amat dirindui.

“Selama ini saya ternanti-nanti berita bila agaknya kedua-dua negara hendak membuka pintu sempadan bagi membolehkan saya kembali bersama anak dan cucu.

“Saya bersyukur dapat kembali bersama mereka kini. Ada beberapa barangan yang saya bawa untuk mereka antaranya baju dan mainan buat cucu-cucu,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *