Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd. Rahman

Kaki ponteng puasa di Pulau Pinang boleh didenda RM1,000, penjara 6 bulan

KAKI ponteng puasa di Pulau Pinang boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali sekiranya didapati bersalah.

Bagi kesalahan kedua atau berikutnya pula, umat Islam yang ditangkap kerana sengaja tidak berpuasa itu boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Perkara itu ditegaskan Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd. Rahman yang menjelaskan, tidakan penguatkuasaan tersebut bersandarkan Seksyen 15 Enakmen Undang-Undang Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996.

Jelas beliau, sepanjang Ramadan tahun ini juga, Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) akan menjalankan pemantauan di kira-kira 120 lokasi panas yang dipercayai menjadi tumpuan individu ponteng puasa.

“Pemantauan itu akan dijalankan menerusi operasi bersepadu bulan Ramadan 2022/ 1433H dan dibantu oleh agensi-agensi seperti Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang serta Bahagian Pengurusan Halal JHEAIPP.

“Operasi itu turut memberi tumpuan kepada aspek kebersihan premis serta pengendalian makanan, pematuhan terhadap syarat-syarat permohonan lesen dan lain-lain yang berkaitan mengikut peruntukan undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, operasi bersepadu bulan Ramadan itu merupakan manifestasi kesungguhan pentadbiran Islam di Pulau Pinang untuk mengajak umat Islam sama-sama memuliakan bulan suci yang dijangka disambut Ahad ini.

Ujarnya, operasi bersepadu itu juga bertujuan meningkatkan kesedaran umat Islam melalui ‘Kempen Hormati Ramadan’ di Pulau Pinang.

Di samping itu juga katanya, operasi tersebut bertujuan membanteras tindakan tidak menghormati bulan Ramadan seperti sengaja makan atau minum di khalayak ramai tanpa sebarang halangan atau uzur syarie.

“Semoga dengan operasi bersepadu ini mampu menimbulkan kesedaran buat umat Islam negeri ini untuk menjadikan Ramadan pada tahun ini adalah Ramadan yang terbaik bagi kita semua,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *