Dah ada kedudukan dan kuasa, jangan lupa orang lain – Wan Saiful

PEMIMPIN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diingatkan agar tidak mudah lupa pada orang lain selepas mendapat kedudukan dan kuasa.

Peringatan itu disuarakan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan ketika mengadakan pertemuan dengan Jentera Penerangan Bersatu Sabah Selasa lalu.

Menurut Wan Saiful, setiap pemimpin diingatkan agar tidak melupakan orang yang membantu mereka mendapat kedudukan tersebut.

“Kedudukan itu bukan hasil seorang diri tetapi sudah pasti ramai yang berusaha secara bersama.

“Parti ini tidak boleh membenarkan wujudnya sikap terlalu cepat terlupa jasa sahabat-sahabat.

“Sebaliknya kita mesti membudayakan ukhuwah yang saling menghargai usaha dan sumbangan sebegitu ramai pejuang di sekeliling,” katanya menerusi perkongsian dalam Facebook, hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata,ukhuwah sebagai sahabat amat penting dalam perjuangan membawa perubahan.

Tegas beliau, hubungan dalam parti bukan hanya birokrasi bersandarkan jawatan semata-mata.

“Kita mesti jadikan hubungan sesama kita sebagai hubungan berteraskan persahabatan agar sahabat menjadi pelengkap kepada kelemahan diri sendiri.

“Kita juga sentiasa lapang dada apabila ditegur dengan ikhlas oleh rakan-rakan seperjuangan,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *