PADAH menggunakan dokumen palsu bagi pelantikan sub kontraktor, seorang bekas pengurus syarikat pengangkutan dipenjara sehari dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini.
Hakim Rozilah Salleh menjatuhkan hukuman itu ke atas Wan Kamarulbahri Wan Roslan, 38, selepas dia mengaku bersalah melakukan perbuatan itu di syarikat tempatnya bekerja sebelum ini di Pelabuhan Klang, pada 26 Ogos 2019.
Rozilah memerintahkan hukuman penjara sehari itu bermula hari ini dan tertuduh akan dipenjara enam bulan lagi sekiranya gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, Wan Kamarulbahri dengan curangnya telah menggunakan sebagai tulen satu dokumen iaitu surat permohonan syarikat Kay R Resources (M) Sdn Bhd bertarikh 20 Ogos 2019 untuk mendaftar sebagai sub kontraktor pengangkutan kepada FGV Transport Services Sdn Bhd bagi mengangkut minyak sawit dan baja, yang tertuduh ketahui, ia adalah satu dokumen palsu.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, atau dengan kedua-duanya.
Sebelum menjatuhkan hukuman, Rozilah mengingatkan tertuduh bahawa kesalahan lelaki itu adalah perkara yang serius.
“Kamu kena tahu kesalahan yang kamu buat ini adalah serius. Kamu buat begini bukan untuk bantu syarikat tapi untuk kepentingan diri kamu sendiri,” katanya.
Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Muhammad Noor Azfar Noor Azmi memohon kepada mahkamah agar satu hukuman denda minimum dikenakan terhadap anak guamnya dengan alasan tertuduh kesal serta insaf dengan kesalahan yang dilakukan.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Noryusriza Zulkifli memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kerana kepentingan awam mengatasi kepentingan tertuduh. – Bernama
Leave a Reply