PERBICARAAN kes peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang didakwa atas pertuduhan pengubahan wang haram dan membuat penyataan palsu kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ditangguhkan ke esok kerana saksi ketujuh pendakwaan tidak sihat.
Pada prosiding kes berkenaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz memberitahu Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin bahawa pegawai cukai LHDN, Syed Nasrul Fahmi Syed Mohamad memaklumkan keadaan kesihatannya pada pukul 8 pagi tadi.
“Saksi masih dalam pemeriksaan balas. Saksi kami seterusnya ialah pegawai penyiasat. Justeru kami memohon perbicaraan hari ini ditangguhkan ke esok,” katanya.
Memandangkan tiada bantahan daripada peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Muhammad Shafee, mahkamah kemudiannya menangguhkan perbicaraan hari ini dan menetapkan esok untuk menyambung perbicaraan.
Pada 13 Sept 2018, Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM9.5 juta melalui dua cek dikeluarkan oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.
Peguam itu juga berdepan dua pertuduhan terlibat dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu mengemukakan penyata tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Dis 2013 dan 31 Dis 2014. – BERNAMA
Leave a Reply