Lelaki putus tangan, jari, rentung dalam kereta terbakar

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

POLIS menemukan seorang lelaki rentung dalam kereta yang terbakar di tepi jalan di luar Perumahan Iskandar Malaysia (Prisma), Iskandar Puteri, tengah malam tadi.

Kejadian tersebut dilaporkan kepada polis pada pukul 12.03 tengah malam.

Menurut Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, mengikut maklumat awal, seorang lelaki didakwa terperangkap dalam kereta terbakar di kawasan perumahan itu.

“Hasil siasatan terhadap saksi mendapati kereta itu berhenti di lokasi kejadian dalam keadaan enjin hidup, lampu menyala dan terbakar.

“Siasatan di tempat kejadian mendapati seorang lelaki rentung dalam kereta dan tiada butiran pengenalan diri mangsa diperoleh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pihaknya tidak menemukan sebarang butiran mahupun barang berharga di tempat kejadian.

Mayat mangsa ujarnya, dikeluarkan oleh anggota forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dengan bantuan bomba dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Mayat mangsa yang rentung dengan tangan dan jari terputus itu dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk bedah siasat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, Mohd. Khairi Zainuddin berkata, tujuh anggota bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima maklumat.

Menurutnya, kebakaran membabitkan sebuah kereta Proton Wira dan mengalami kemusnahan kira-kira 50 peratus.

Beliau berkata, punca kebakaran dan anggaran kerugian kasih dalam siasatan dan operasi ditamatkan pada pagi.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *