DPT Fuziah

Fuziah sah bertanding jawatan Naib Presiden PKR

KETUA Wanita PKR, Fuziah Salleh mengumumkan beliau akan bertanding merebut jawatan Naib Presiden pada pemilihan parti Mei ini.

Memetik laporan Malaysiakini, langkah itu berikutan keputusan Majlis Pimpinan Pusat Wanita PKR yang sebulat suara menamakan Fuziah sebagai calon bertanding jawatan tersebut.

“Itu keputusan musyawarah majlis pimpinan Wanita Pusat dan hujahnya juga jelas supaya lebih ramai wanita terlibat dalam arus perdana parti dan tidak terhad kepada sayap.

“Walaupun, saya agak sibuk dengan tugas saya selaku Pengarah Pilihan Raya pusat kini dan mungkin tiada masa untuk berkempen. Namun,saya hormat permintaan mereka.

“Maka, dengan rendah diri saya akur dengan permintaan tersebut,” kata Ahli Parlimen Kuantan itu.

Dalam perkembangan sama, Fuziah memohon semua anggota parti dari sayap wanita supaya menjadi sebagai pengurus kempen.

“Pada awalnya, saya ingat saya tidak mahu bertanding sebab sibuk dengan tugas sebagai pengarah pilihan raya.

“Ini kerana mungkin PRU-15 (boleh diadakan) bila-bila masa sahaja. Tapi, akhirnya saya akur.

“Cuma saya pohon semua wanita di seluruh negara melantik diri mereka sebagai pengurus kempen saya,” katanya.

Beliau merupakan Naib Presiden PKR bagi penggal 2010-2014.

Fuziah memangku jawatan Ketua Wanita PKR selepas penyandangnya, Haniza Mohamad Talha dilucutkan keanggotaan dari parti.

Sementara itu, dalam kenyataan media hari ini, Setiausaha Wanita PKR, Nor Azrina Surip berkata, sudah tiba masanya parti itu menterjemahkan jumlah perwakilan wanita dalam barisan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) agar memenuhi kehendak perlembagaannya.

“MPWP yang telah bermesyuarat baru-baru ini pada 25 Mac 2022, memutuskan untuk mengangkat suatu keputusan yang besar yang pastinya akan menambah nilai kepada apa yang termaktub dalam perlembagaan parti ini.

“MPWP dengan ini telah sebulat suara memutuskan untuk menamakan Ketua Wanita PKR, Fuziah Salleh sebagai calon Naib Presiden dari Wanita dalam pemilihan parti yang bakal diadakan pada bulan Mei nanti,” katanya.

Menurut Nor Azrina yang juga Ahli Parlimen Merbok, keputusan tersebut adalah selaras dengan Perlembagaan Parti Fasal 5.14 yang mengiktiraf martabat dan peranan wanita sebagai tonggak dan penggerak masyarakat.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *