EMPAT pemimpin PKR dijangka membarisi pasukan Rafizi Ramli dalam usahanya merebut jawatan Timbalan Presiden parti itu pada pemilihan Mei ini.
Memetik laporan FMT, sumber memberitahu, Rafizi membayangkan gandingannya yang akan bertanding jawatan Naib Presiden PKR iaitu Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar; Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang; Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad dan bekas Ahli Parlimen Kapar, G Manivannan.
Andaian pasukan Rafizi itu adalah berdasarkan kepada kehadiran mereka pada Majlis Pelancaran Ayuh Malaysia semalam.
“Ya, mereka yang tampil di pentas bersama Rafizi adalah ‘line up’ yang akan bertanding pada pemilihan PKR Mei ini.
“Usaha Ayuh Malaysia sebagai salah satu kempen Rafizi untuk pemilihan ini selain usaha menuju pilihan raya umum ke-15 (PRU15),” kata sumber itu kepada FMT.
Dalam pentas tersebut, Nik Nazmi tidak hadir kerana berada di luar negara, namun beliau dalam kenyataannya menyambut baik kempen tersebut yang mengajak rakyat bergerak ke hadapan terutamanya berkaitan isu pendidikan.
Rafizi dan Nurul Izzah pernah menyepi seketika daripada arena politik susulan pertelingkahan dalaman yang melanda PKR sebelum ini.
Pada Disember 2018, Nurul Izzah mengundurkan diri daripada jawatan Naib Presiden PKR yang dimenanginya dengan undian tertinggi dalam pemilihan parti.
Manakala pada 2019, Rafizi yang dilantik sebagai Naib Presiden PKR pula memilih untuk berehat daripada politik sebelum membuat kemunculan semula untuk bertanding Timbalan Presiden PKR Mei ini.
Kempen anjuran Rafizi malam tadi dilancarkan bagi menarik sokongan pengundi atas pagar ke arah menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan pelbagai isu dikupas dalam sesi tiga jam itu antaranya berkaitan perumahan rakyat, isu pertanian dan pendidikan.
Mereka juga berikrar untuk membawa isu-isu rakyat menerusi aplikasi CISTA yang dibangunkan bagi membolehkan setiap rakyat Malaysia menjadi sukarelawan untuk berkhidmat membawa mesej perubahan ke arah Malaysia yang lebih baik.
Kempen itu dibuat selepas mengambil kira keputusan pilihan raya negeri (PRN) Johor dan pandangan pelbagai pihak dalam PKR.
Leave a Reply