salmee said

Isu UniSHAMS: Salmee mahu ambil tindakan terhadap cybertrooper

Oleh RIZQI ZABIDI

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Dr Salmee Said mendakwa terdapat serangan dilakukan terhadapnya di media sosial berikutan tindakannya memohon penjelasan daripada Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mengenai isu pembinaan asrama pelajar Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) baru-baru ini.

Justeru katanya, beliau kini sedang mengadakan perbincangan dengan barisan peguam, bagi mengambil tindakan undang-undang terhadap laskar siber serta mana-mana individu yang bertindak sedemikian, sekiranya perkara itu didapati mencemarkan reputasi dan kredibilitinya.

“Perkara ini dibawa ke media sosial sampai satu dunia tahu seolah-olah saya buat fitnah dalam sidang Dewan Undnagan Negeri (DUN). Saya bukan fitnah sebaliknya cuma mohon penjelasan daripada Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor saja berkaitan perkara itu.

“Jadi sekiranya perkara ini tersebar dan rosakkan nama baik saya, saya ada barisan peguam untuk ambil tindakan terhadap mereka sekiranya terdapat prima facie,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas keluar dari pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah bagi mengadakan pertemuan bersama pegawai suruhanjaya tersebut untuk membincangkan mengenai isu berkenaan.

Salmee hadir dengan ditemani Setiausaha Amanah Kedah, Asmirul Anuar Aris serta peguam, Nashitoh Kassim.

Dalam sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Rabu lalu, Muhammad Sanusi mencabar mana-mana pihak yang mempunyai bukti berlaku salah laku rasuah membabitkan universiti berkenaan, membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Cabaran tersebut dikemukakan Muhammad Sanusi setelah Salmee mendakwa, dia menerima maklumat daripada kontraktor mengenai tindakan konsultan yang dikatakan meminta wang sehingga RM4 juta berkaitan pembinaan asrama tersebut.

Mengulas lanjut Salmee berkata, kehadirannya ke situ bukanlah kerana dipanggil SPRM untuk memberi penjelasan berhubung kes tersebut.

“Sebaliknya kami mengadakan pertemuan dengan SPRM hanya untuk membincangkan mengenai isu yang timbul. Sudah tentu SPRM lebih arif berkaitan mengenai konsultan dalaman dan luaran mengenai isu terbabit dan kami difahamkan mereka juga sebelum ini sudah memiliki maklumat berkenaan isu berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu Salmee menyifatkan tindakan Muhammad Sanusi yang meninggikan suara terhadapnya ketika sesi penggulungan itu sebagai sesuatu yang tidak patut dilakukan.

“Saya masuk ke Sidang DUN untuk mohon penjelasan dari beliau. Yang Menteri Besar nak terpekik terlolong marah saya itu pasal apa?” soalnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *