RAMADAN belum tiba tapi peniaga sudah menyatakan mahu naikkan harga juadah yang akan dijual di bazar.
Malah, tindakan peniaga itu mendapat sokongan gabungan dan persatuan peniaga yang mengatakan bahawa kenaikan tidak dapat dielakkan kerana kos bahan mentah yang sudah meningkat berkali ganda.
Para peniaga berkata, mereka mengharapkan orang ramai faham bahawa peniaga amat terkesan dengan kenaikan harga bahan mentah di pasaran.
Kalau pun peniaga tidak menyatakan mereka akan menaikkan harga jualan, Tok Chey sudah boleh menjangkakan akan berlaku perkara itu.
Ini kerana ada peniaga yang sudah berbuat demikian sejak awal tahun ini kerana tidak mampu menyerap kos bahan mentah yang meningkat.
Penjual yang menggunakan ayam, telur, tepung, bawang, minyak masak dan beberapa bahan lain dalam masakan mereka sudah sudah pasti tidak mampu menjualnya dengan harga seperti sebelum ini.
Jadi, bagaimana pula dengan nasib pengguna yang ditekan dari pelbagai segi. Jika membeli di pasar terbeban dengan harga bahan mentah yang meningkat, membeli daripada peniaga pun terpaksa terima kenaikan harga.
Pada pandangan Tok Chey, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu lebih proaktif untuk menyelesaikan isu ini.
Ia tidak boleh dibiarkan berlarutan dalam tempoh yang panjang kerana kesan rantaian dan impaknya akan menyusahkan pengguna.
KPDNHEP tidak lagi boleh mengeluarkan kenyataan ataupun amaran kepada peniaga melarang mereka menaikkan harga barang tanpa menyelesaikan masalah di peringkat akarnya.
Mereka perlu mencari penyelesaian segera untuk menangani isu ini dengan menyeluruh supaya masalah tersebut tidak terus melebar hingga sukar dikawal nanti.
Apa yang Tok Chey nampak, Jualan Keluarga Malaysia yang menawarkan harga jualan berpatutan perlu diadakan lebih kerap berbanding sebagai acara mingguan.
Kewujudan tempat jualan juga perlu diperbanyakkan supaya rakyat dapat membuat pembelian masing-masing tanpa perlu bersesak-sesak.
Di samping itu, ia perlu diperluaskan kepada barang-barang lain supaya siri kenaikan harga barang yang berlaku bagaikan pesta ini dapat dihentikan segera.
Bina lebih banyak pasar raya yang mampu menjual harga berpatutan kepada pengguna kerana dengan cara itu, ia dapat mengurangkan beban mereka terutamanya yang tinggal di kawasan bandar.
Kebergantungan terhadap import makanan juga harus diperhalusi dengan sedalam-dalamnya kerana ia turut memberi kesan kepada harga makanan apabila berlaku wabak dan masalah luar jangka.
Sektor pertanian yang menjadi fokus ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Timbalan Perdana Menteri perlu diperkasakan semula kerana sektor itu cukup penting kepada negara.
Tanah-tanah terbiar harus dimanfaatkan dengan tanaman yang dapat menyumbang kepada bekalan makanan dalam negara.
Segala perancangan dan keutamaan yang direncanakan sebelum ini perlu diberi perhatian demi kepentingan rakyat Malaysia.
Jika tidak, Malaysia akan terus berdepan dengan masalah kekurangan bekalan makanan yang akhirnya akan menyebabkan kenaikan harga barang mendadak.
Tok Chey harap semua agensi kerajaan dapat bertindak segera dan menggunakan kepakaran yang ada untuk menyelesaikan isu yang serius ini kerana negara-negara jiran kita sudah jauh di hadapan dalam aspek penyediaan sumber makanan mereka.
Leave a Reply