masjid

Apabila para jemaah semakin ‘berjauhan’ dengan masjid

guane

SEJAK pandemik Covid-19 melanda negara ini, pelbagai peraturan terpaksa dilaksanakan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membendung wabak tersebut daripada terus menular.

Pada peringkat awal wabak melanda, rakyat di negara ini terpaksa berkurung ekoran kerajaan melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) sehingga membawa kepada ‘Lock down’ di seluruh negara.

Selain penutupan pelbagai sektor termasuk ekonomi dan sosial,  ia turut melibatkan penutupan rumah-rumah ibadat termasuk masjid-masjid dan surau.

Penutupan dibuat setelah wujudnya beberapa kluster masjid, bermula sebuah masjid di Sri Petaling.

Ini menyebabkan keadaan masjid dan surau menjadi lengang dan sepi ekoran Prosedur Operasi Standard (SOP)  yang dikenakan pada peringkat awal PKP dahulu hanya membenarkan imam, bilal dan Jawatankuasa masjid sahaja menunaikan solat di rumah ibadat tersebut.

Kini, selepas tiga tahun pandemik bertapak dan menular, ia  meninggalkan kesan amat besar dalam masyarakat, bukan sahaja dari segi ekonomi, kehidupan dan mental, tetapi juga melibatkan sikap dan perhubungan antara insan.

Malah, apa yang merisaukan ialah kebanyakan masjid dan surau masih kelihatan kosong dan lengang walaupun SOP ke atas masjid dan surau telah banyak diberikan kelonggaranya.

Namun, apa yang penulis perhatikan, bukan sahaja solat fardu, tetapi ketika solat Jumaat pun  kebanyakan para jemaah masih ‘berjauhan’ dengan masjid.

Apa yang dikesalkan, pada hari Jumaat masih ada masyarakat berpeleseran di merata tempat ketika azan sedang dilaungkan oleh bilal.

Mereka seakan-akan masih  meneruskan PKP pada hari Jumaat sedangkan ketika penutupan masjid dan surau dilaksanakan sebelum ini, mereka adalah antara golongan yang banyak bercakap kerana membantah tindakan tersebut.

Kita khuatir sekiranya sikap seperti ini berterusan, maka masjid dan surau  akan terus sepi dan lengang tanpa jemaah.

Tidak lama lagi masayarakat Islam akan menyambut bulan Ramadan dan sudah tentu pelbagai aktiviti keagamaan bakal diadakan sepanjang bulan mulia ini termasuk solat Terawih pada sebelah malamnya.

Setiap kali tiba bulan Ramadan teringat penulis sewaktu zaman kanak-kanak dahulu mengikuti ibubapa ke surau untuk menunaikan solat Terawih.

Apa yang menyeronokkan ketika itu ialah dapat bertemu kawan-kawan sambil moreh selepas selesai Terawih.

Adakah masjid dan surau pada tahun ini akan dibanjiri para jemaah untuk menunaikan solat Terawih setelah sekian lama mereka berehat panjang?.

Sepatutnya itulah yang berlaku kerana kebanyakan negeri khususnya Terengganu dan Kelantan telah membenarkan solat dengan merapatkan saf tanpa penjarakan fizikal bermula 1 April ini.

Selain semua aktiviti keagamaan termasuk moreh dibenarkan, kanak-kanak berusia 7 tahun ke atas juga sudah boleh ke masjid dan surau untuk menunaikan solat.

Oleh itu, penulis berharap tiada lagi alasan diberikan oleh pihak-pihak tertentu mengenai SOP masjid dan surau.

Bagi memeriahkan kembali masjid dan surau di Terengganu, penulis berasa kagum dengan usaha kerajaan negeri yang terus mengadakan dan memperhebatkan kempen solat berjemaah dalam kalangan masyarakat bagi membina suasana harmoni dan sejahtera di negeri ini.

Kempen Bulan Penghayatan Ibadah Solat (BPIS)  bukan setakat disampaikan melalui khutbah Jumaat, sebaliknya turut digerakkan di beberapa lokasi tumpuan ramai  termasuk di beberapa pasar raya terkemuka dan melalui program sukan  sejak bulan lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah sewaktu melancarkan kempen itu berkata, inisiatif yang dilakukan adalah untuk memastikan rakyat Terengganu  tidak leka dalam menunaikan ibadat yang menjadi tunjang penting kehidupan umat Islam.

Menurut beliau, pihaknya telah turun ke lapangan mengadakan ‘street dakwah’ bagi mendekati seramai mungkin melalui penyebaran risalah agar masyarakat  mengetahui tentang program BPIS yang secara ringkasnya disebut ‘Jom Solat Berjemaah’.

Katanya, beliau mewakili pihak kerajaan berharap dengan inisiatif serta pendekatan yang diambil akan mampu mendidik masyarakat untuk sentiasa menghidupkan ibadat dengan sembahyang pada awal waktu disamping sentiasa menjaganya serta berusaha untuk memastikan ia dilakukan dengan sempurna dan mengerjakannya secara berjemaah.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *