Oleh MOHD AZAM MOHD ATAN
NAMPAK Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki layak untuk dilantik sebagai ketua anti rasuah dalam kepimpinan parti itu kerana beliau kerap bercakap mengenai isu rasuah.
Ketika ucapan dasar Pemuda dalam Perhimpunan Agung UMNO 2021 baru-baru ini, Asyraf Wajdi berkata, UMNO perlu segera memulakan penjernihan budaya politik dengan menanam rasa benci dan jelik kepada sebarang bentuk korupsi, rasuah dan hipokrasi.
Katanya, elemen negatif tersebut berkemampuan untuk mencairkan integriti dan seterusnya meruntuhkan akhlak manusia.
Ujar beliau lagi, kerajaan yang dibentuk tanpa integriti dan berkiblatkan kerakusan kuasa hanya akan mewujudkan huru-hara dan kesengsaraan kepada rakyat.
Dan ketika mengulas mengenai Exco Johor yang dilantik semalam, Asyraf Wajdi berkata, enam Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) yang dilantik dalam pentadbiran negeri dinasihatkan agar menolak sebarang bentuk rasuah dan salah guna kuasa ketika menjalankan tugas.
Beliau berkata, mereka perlu menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah dan berintegriti dengan mengutamakan rakyat berbanding diri sendiri.
“Menolak sebarang bentuk rasuah dan salah guna kuasa dan bekerjalah dengan sepenuh jiwa demi rakyat dan kecemerlangan negeri,” katanya di Facebook.
Apa yang diucapkan oleh Asyraf Wajdi itu semuanya benar belaka dan amat dialu-alukan untuk membasmi rasuah dalam negara sehingga ke akarnya.
Cumanya yang menjadi tanda tanya, adakah apa yang diperkatakan oleh Asyraf Wajdi itu tidak diambil pusing oleh ‘kluster mahkamah’ yang masih berkuasa dalam UMNO?
Ataupun suara Asyraf Wajdi tidak laku, dipandang sepi dan hanya diibaratkan seperti mencurah air ke daun keladi.
Buktinya, Datuk Seri Najib Razak yang sudah didapati bersalah oleh mahkamah dan dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta membabitkan penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd, masih memegang jawatan Pengerusi Lembaga Penasihat BN di mana Asyraf Wajdi turut memegang jawatan Pengerusi Pemuda BN.
Sebelum ini juga pada 2018, Asyraf Wajdi dan Naib Ketua Pemuda, Shahril Hamdan bersama barisan Pemuda UMNO pernah mendesak bos mereka iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bercuti dan berehat buat seketika daripada menjalankan tugas sebagai presiden parti sehingga kesnya selesai di mahkamah.
Asyraf Wajdi pada ketika itu berkata gesaan tersebut adalah untuk memberi peluang kepada Ahmad Zahid yang berdepan 45 tuduhan rasuah dan pecah amanah, untuk menumpukan usaha membersihkan nama di mahkamah.
Katanya, adalah tidak adil membebankan presiden parti yang berdepan dengan banyak pertuduhan untuk terus memimpin parti dalam keadaan UMNO perlu bergerak pantas.
“Dengan ini, Pemuda UMNO sebulat suara menggesa Presiden UMNO dapat mempertimbangkan untuk bercuti buat seketika daripada menjalankan tugas sebagai presiden sehingga kes beliau dibicarakan dan diputuskan di mahkamah,” katanya.
Dan sehingga kini, Ahmad Zahid masih memegang jawatan Presiden UMNO walaupun kes dihadapinya masih belum diselesaikan.
Oleh itu, Asyraf Wajdi hendaklah lebih agresif, melakukan desakan yang lebih kuat supaya golongan yang terpalit isu integriti tidak lagi terbabit dalam politik UMNO.
Ia seterusnya mencerminkan apa yang diperkatakan oleh Asyraf Wajdi bukan hanya omong kosong.
- Penulis adalah penganalisis politik dan ekonomi. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian WartaRakyat.
Leave a Reply