Chiew Sien-Vivian mara ke separuh akhir Terbuka Switzerland

PASANGAN beregu wanita profesional negara Lim Chiew Sien-Vivian Hoo meneruskan rentak kecemerlangan apabila mengejutkan pilihan keenam untuk mara ke peringkat separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Switzerland di Basel.

Pada aksi suku akhir berlangsung awal pagi tadi, gandingan itu terpaksa bekerja keras sebelum berjaya menewaskan pasangan dari India, Ashwini Ponnappa-Reddy N.Sikki 22-20, 23-21 dalam tempoh 54 minit.

Chiew Sien-Vivian bermula baik di set pertama apabila mendahului 7-2, namun sebaik pihak lawan mendapat rentak aksi bertukar menjadi sengit hingga mata terikat 20-20 sebelum dua mata terakhir berjaya diraih wakil negara untuk kemenangan set pertama.

Momentum itu diteruskan Chiew Sien-Vivian pada set kedua yang turut menyaksikan perlawanan berlangsung sengit sekali gus memaksa pasangan negara mengerah segala kudrat untuk menoktahkan kejayaan 23-21.

Menanti mereka di pentas separuh akhir yang dijadual berlangsung 2 petang waktu tempatan (9 malam waktu Malaysia) adalah pasangan adik-beradik dari Bulgaria, Stoeva Gabriela-Stoeva Stefani, yang merupakan pilihan ketiga.

Sementara itu, pasangan beregu lelaki negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin turut berjaya melayakkan diri ke pentas separuh akhir selepas cemerlang mengatasi pasangan Leo Carnando-Daniel Marthin dari Indonesia 21-18, 19-21, 21-12.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *