RAMAI orang UMNO sudah ‘naik syeh’ selepas Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti lebih dua pertiga pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka.
Maka, semangat mereka meluap-luap untuk berentap di pentas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dengan harapan kejayaan serupa dapat diulangi di peringkat kerajaan Persekutuan pula.
Lebih-lebih lagi selepas Perhimpunan Agung UMNO 2021 menggesa kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen dengan segera.
Hakikatnya mereka terlupa bahawa di sebalik ‘kejayaan’ tersebut, BN hanya mampu meraih 43 peratus undi popular pada PRN Johor. Penganalisis merumuskan sebahagian besar undi tersebut datang dari akar umbi dan penyokong tegar UMNO dan BN.
Malah, Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed sendiri meramalkan BN tidak mempunyai tempat di kerusi Parlimen Pulai yang pernah diwakilinya dahulu.
Seperti yang dilaporkan Malay Mail Online, malam tadi beliau mengumumkan tidak akan bertanding untuk merampas kerusi tersebut yang kini disandang Timbalan Presiden PAN, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada PRU-15.
Ketika berkongsi pengalamannya pada majlis kesyukuran di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, Tampoi, Nur Jazlan memberitahu, beliau berjaya meraih lebih 70 peratus undi popular ketika kali pertama bertanding di kerusi Parlimen Pulai pada 2004.
Namun, pada PRU-14, Nur Jazlan hanya beroleh 40 peratus undi popular dan beliau gagal mempertahankan kerusi yang disandangnya selama tiga penggal.
Sememangnya, semua ahli UMNO dan BN wajar mempertimbangkan peringatan Nur Jazlan agar mereka jangan sangka boleh menang dengan selesa pada PRU-15.
Berdasarkan peratusan undi popular yang rendah diterima BN pada PRN Johor dan Melaka, dapat disimpulkan bahawa parti itu masih belum pulih sepenuhnya daripada krisis kepercayaan yang berpunca daripada skandal penyelewengan dan salah guna kuasa melibatkan pemimpin-pemimpin UMNO.
Boleh dikatakan BN bernasib baik di Johor dan Melaka kerana peratusan keluar mengundi yang rendah merupakan antara faktor yang menyumbang kepada kemenangan mereka.
Rata-rata pengundi di kedua-dua negeri berpandangan, tiada keperluan bagi mereka kekal mengundi kerana kerajaan Persekutuan tetap diketuai oleh pemimpin UMNO.
Tambahan pula, tahap celik politik yang masih rendah dalam kalangan pengundi muda yang berumur antara 18 hingga 21 tahun menyebabkan mereka tidak berminat untuk mengundi.
Malah, ada dalam kalangan mereka yang mengakui tidak tahu bahawa pendaftaran pemilih secara automatik melalui inisiatif Undi18 telah pun dilaksanakan pada PRN Johor.
Situasi dijangka berubah di pentas PRU-15 di mana peratusan yang keluar mengundi dijangka bertambah seperti yang pernah berlaku pada PRU-14.
Memandangkan UMNO kelihatan belum serik kerana masih menjulang pemimpin kluster mahkamah sebagai wira, rakyat khususnya generasi muda yang sangat membenci rasuah dan salah guna kuasa pasti akan mengajar parti itu.
Hanya satu cara untuk menyelamatkan UMNO daripada cengkaman kluster mahkamah. Pemilihan mesti diadakan sebelum PRU-15 bagi memastikan pemimpin yang benar-benar bersih mengetuai parti.
Kegagalan UMNO membuat pemilihan dengan segera akan menyebabkan parti itu dihukum sekali lagi dan pemimpin-pemimpinnya terpaksa kembali ke blok pembangkang di Parlimen selepas PRU-15.
Leave a Reply