pertemuan umno

Pertemuan menteri, timbalan menteri UMNO hari ini, apa motifnya?

MENTERI-MENTERI dan timbalan-timbalan menteri dari UMNO dilaporkan mengadakan pertemuan di sebuah hotel terkemuka di Putrajaya hari ini.

Memetik laporan Sinar Harian, kenderaan kenamaan dilihat memasuki lokasi berkenaan seawal pukul 8 pagi tadi.

Antara menteri UMNO yang dilihat hadir di lokasi pertemuan itu ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Annuar tiba kira-kira pukul 8.45 pagi manakala Shahidan pada pukul 9.40 pagi.

Setakat ini, masih tiada maklumat yang jelas tentang mengapa pertemuan tersebut diadakan.

Pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 yang berakhir Sabtu lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannnya, Datuk Seri Mohamad Hasan menggesa kerajaan membubarkan Parlimen lebih awal.

Langkah itu bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan sebelum tempoh penggal Parlimen ke-14 berakhir.

Desakan tersebut telah mencetuskan polemik dalam kalangan pimpinan UMNO khususnya Perdana Menteri merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri.

Pemimpin-pemimpin UMNO yang menganggotai Kabinet juga dilihat berbelah bahagi dalam isu tersebut.

Laungan pemimpin dan akar umbi UMNO agar Parlimen dibubarkan segera semakin kuat kedengaran selepas Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac lalu.

Polemik tercetus dalam UMNO memandangkan parti itu masih diketuai oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang tergolong dalam kluster mahkamah selain Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim dan Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Memandangkan UMNO telah memutuskan agar pemilihan parti yang sepatutnya diadakan segera ditangguhkan sehingga enam bulan selepas PRU-15, parti itu terpaksa memikul ‘biawak hidup’ yang terdiri daripada kluster mahkamah semasa kempen kelak.

Hakikat itu amat mengerikan bagi akar umbi UMNO masih belum pulih daripada igauan ngeri akibat skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang menyebabkan BN ditolak rakyat pada PRU-14.

Hanya pemilihan parti yang dapat mengembalikan tampuk kepimpinan parti kepada tokoh yang benar-benar bersih dan berintegriti namun selepas Perhimpunan Agung UMNO 2021 berakhir, kemungkinan itu kini samar-samar.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *