PELBAGAI peralatan rokok elektronik e-rokok atau vape yang dianggarkan bernilai RM519,300 dirampas Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan semalam.
Rampasan itu dilakukan pada pukul 5 petang di sebuah kedai kosong di Kampung Simpangan, dipercayai dijadikan lokasi transit sebelum diseludup ke Thailand, lapor Harian Metro.
Menurut Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Norzaid Muhammad Said, dalam penugasan Op Landai/Op Kontraban, anggotanya ada menerima aduan sebelum menjalankan pemantauan di lokasi tersebut.
Katanya, apabila sampai di premis tersebut, didapati pintunya tidak berkunci dan tiada penghuni sebelum anggota terbabit masuk bagi menjalankan pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan menemui sejumlah pod vape, katrij serta cecair untuk kegunaan rokok elektronik itu dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM519,300,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Norzaid, pihaknya menunggu hampir satu jam, namun tiada sesiapa tampil untuk mengaku sebagai pemilik peralatan vape yang dirampas itu.
Beliau berkata, kesemua barang rampasan telah dibawa balik ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga Pengkalan Kubor untuk tindakan lanjut.
Ujarnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 13 (a) Akta Racun 1952.
“Kami percaya semua barangan rampasan ini akan diseludup ke Thailand dan premis itu dijadikan sebagai stor simpanan sementara atau transit,” jelasnya lagi.
Leave a Reply