PENGEMBARA yang memasuki Malaysia mulai 1 April ini selepas pembukaan sempadan negara dikehendaki menjalani ujian RTK-Antigen (RTK-Ag) profesional di fasiliti kesihatan swasta dalam tempoh 24 jam selepas tiba di negara ini.
Itu merupakan antara protokol am disediakan Kementerian Kesihatan (KKM) menjelang pembukaan pintu sempadan negara sepenuhnya pada 1 April ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, sebelum berlepas ke Malaysia, pengembara juga dikehendaki memuat turun, mendaftar dan mengaktifkan aplikasi MySejahtera.
Menurut beliau, pengembara juga perlu melengkapkan deklarasi perjalanan termasuk maklumat vaksinasi yang boleh diakses melalui ikon Traveller dalam MySejahtera.
Pada masa sama, katanya, pengembara harus melaporkan dan memuatnaik keputusan ujian RT-PCR yang telah dilakukan dua hari sebelum berlepas.
Semasa tiba di pintu masuk antarabangsa, Khairy memaklumkan, pengembara akan melalui saringan demam dengan imbasan thermal scanner atau rujukan kendiri kepada petugas kesihatan sekiranya bergejala manakala pengembara tidak bergejala akan meneruskan perjalanan ke kaunter Imigresen untuk semakan lanjut.
“Keputusan ujian RTK-Ag yang dilakukan itu akan diperolehi dalam aplikasi MySejahtera, sekiranya keputusan positif, pengembara dengan vaksin lengkap diberikan perintah pengawasan dan pemerhatian (HSO) selama 7 hari di tempat penginapan bagi kategori 1 dan 2.
“Namun, bagi kategori 3 ke atas, mereka perlu mendapatkan rawatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) atau hospital swasta.
“Bagi pengembara yang tidak lengkap vaksinasi atau tiada vaksinasi pula, mereka akan diberikan (HSO) selama 10 hari.
“Kalau pengembara tak melakukan ujian RTK-Ag profesional dalam tempoh 24 jam, status mereka akan bertukar merah dan mereka tak boleh masuk ke kedai makan.
“Paling penting mereka dah lakukan kesalahan dan boleh diusir keluar,” katanya dalam sidang media yang disiarkan secara langsung dari ibu pejabat KKM pada Khamis.
Mengulas lanjut, Khairy berkata, bagi pengembara yang lengkap vaksin dengan keputusan ujian RTK-Ag profesional negatif tidak perlu menjalani kuarantin.
Sebaliknya, pengembara yang tidak lengkap vaksinasi atau tiada vaksinasi perlu melalui HSO selama lima hari di tempat penginapan.
Malah, pengembara itu dikehendaki menjalani RT-PCR pada hari keempat atau RTK-Ag profesional pada hari kelima.
“Sekiranya ujian sampel kedua COVID-19 didapati positif, mereka akan diberikan HSO selama lima hari dari tarikh sampel kedua diambil.
“Jika keputusan negatif, mereka akan dilepaskan daripada HSO,” jelas beliau.
Leave a Reply