Oleh RAHIMI MOHAMAD
SEORANG gadis yang sedang beriadah di Air Terjun Gunung Ledang, Jalan Sagil-Jementah di Tangkak ditemukan lemas pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, mangsa, Nurul Syafiqa Mokhtar, 21, disahkan meninggal dunia ketika ditemukan pihak bomba kira-kira sejam kemudian.
Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangkak, Pegawai Bomba Kanan I Hairulnizam Ridhuan berkata, hasil maklumat daripada saksi awam memaklumkan mangsa dipercayai lemas ketika mandi di air terjun berkenaan.
“Anggota bomba telah mendaki ke lokasi yang dilaporkan. Hasil pencarian menggunakan kaedah ‘surface searching’ menemukan mangsa pada pukul 11.38 pagi.
“Pemeriksaan pegawai perubatan yang hadir mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia dan mayatnya dibawa turun ke kaki gunung untuk diserahkan kepada pihak polis,” katanya.
Menurut beliau, seramai tujuh anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.
Operasi tamat pada pukul 12.54 tengahari.
Leave a Reply