RANG Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti akan dibentangkan dalam sidang khas Dewan Rakyat pada Ramadan, kata Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook.
Menerusi catatan di Facebook beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan perkara itu kepada beliau, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution dalam mesyuarat hari ini.
Di bawah memorandum persefahaman (MoU) antara Pakatan Harapan (PH) dan Putrajaya, RUU itu sepatutnya dibentangkan dalam sidang pertama Dewan Rakyat tahun ini yang akan berakhir esok.
Sebelum ini, bekas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng memberi amaran kepada Putrajaya bahawa MoU itu akan “selesai dan ditamatkan”, jika RUU itu tidak dibentangkan seperti dijanjikan.
Loke berkata, Ismail memberikan komitmennya bahawa RUU itu akan dibentang dan dibahaskan, memandangkan ia adalah syarat utama dalam MoU kerajaan persekutuan dan PH.
“Segala isu teknikal dan takrifan perlu diselesaikan jawatankuasa teknikal bipartisan dalam masa terdekat. Kami memberikan komitmen penuh bahawa PH akan memberi kerjasama untuk memastikan pindaan Perlembagaan tersebut dapat diluluskan dan melarang sebarang tindakan melompat parti,” kata Loke lapor FMT.
Semalam, Mohamad Sabu menggesa kerajaan membentang segera RUU itu di Parlimen atau beliau dan Ahli Parlimen pembangkang akan turun ke jalan raya untuk mendesak Putrajaya berbuat demikian.
Ini kerana, katanya, kerajaan seperti tidak mempedulikan suara rakyat, sekiranya tiada gesaan seperti ribuan rakyat turun ke jalan raya.
Jumaat lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Kabinet memutuskan RUU itu masih memerlukan “penelitian lanjut” melalui sesi perbincangan dengan pihak berkepentingan lain bagi memastikan pindaan itu mendapat sokongan di Dewan Rakyat.