BINTANG Manchester United Paul Pogba akui beliau menghadapi kemurungan ketika kelabnya di bawah jagaan Jose Mourinho.
Ketika sesi temubual bersama La Figaro, Pogba, 29 berkata tempoh bersama pengurus Portugis tersebut membuat beliau mempersoalkan dirinya selepas dibuang dari jawatan naib kapten pasukan.
“Saya sudah banyak lalui kemurungan sepanjang kerjaya saya, tetapi saya tidak bercakap tentangnya. Kadang-kadang, kamu tidak tahu kamu murung. Kamu hanya mahu bersendirian, berkeseorangan, dan ini semua merupakan tanda-tandanya,” kata beliau.
Pemain Perancis itu berkata kemurungannya bermula ketika bermain di bawah Jose Mourinho di Manchester United.
“Kamu mula mempersoalkan diri kamu, kamu mula berfikir jika semuanya salah kamu sebab kamu tidak pernah mengalami perkara sebegini seumur hidup,”katanya.
Mourinho memberitahu Pogba bahawa beliau tidak akan menjadi kapten pasukan lagi di bawah pengurusannya dan keputusan itu kerana masalah pendirian pemain tengah tersebut.
Pogba berkata, beliau berbincang dengan bekas-bekas pemain ketika itu kerana mereka mempunyai banyak pengalaman.
“Saya tidak mahu detik-detik negatif buat saya lupa pencapaian saya tetapi ia tidak semestinya senang untuk berbuat begitu.Saya berborak banyak dengan Uncle Pat (Patrice Evra) dan pemain bola sepak lain yang pernah melalui pengalaman yang sama kerana mereka amat memahaminya,” katanya.
Pemain 29 tahun tersebut juga berkata bahawa gaji pemain bola yang tinggi tidak semestinya membuat mereka bahagia.
“Patutkah saya bahagia selalu hanya kerana gaji saya besar? Itu bukan cara kehidupan. Namun, dalam bola sepak itulah realitinya. Kami bukan superhero, kami hanya manusia,” katanya.
Semalam, Pogba mengesahkan pingat Piala Dunia beliau dicuri selepas perompak memecah masuk rumahnya ketika anak-anak sedang tidur dan akan menawarkan ganjaran kepada sesiapa yang boleh memberikan maklumat tentang jenayah tersebut.
Leave a Reply