YB Rara DAP calon Melayu

Pemilihan CEC: Akar umbi DAP tidak mesra calon Melayu

KEPUTUSAN pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP Ahad lalu yang menyaksikan hanya seorang daripada 10 calon Melayu dipilih seolah-olah menggambarkan akar umbi parti itu tidak mesra calon Melayu.

Memetik laporan FMT, Felo Kanan Akademi Nusantara, Azmi Hassan berkata, senario itu boleh ditafsir sebagai akar umbi DAP tidak mengendahkan desakan pucuk pimpinan parti yang berusaha untuk menampilkan lebih ramai pemimpin Melayu dalam CEC.

Menurut beliau, walaupun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman menunjukkan prestasi meyakinkan dengan memenangi 981 undi, beberapa pemimpin Melayu terkenal seperti ADUN Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz Bari dan ADUN Tanjong Bunga, Zairil Khir Johari tidak terpilih.

“Ini adalah perkara yang perlu dibimbangkan oleh para pemimpin. Ya, Syefura dapat 981 undi walaupun calon Melayu lain meraih undi yang jauh lebih sedikit, tetapi kuota 30 peratusyang ditetapkan untuk calon wanita mungkin membantunya.

“Ini memberi gambaran, sama ada tepat atau tidak, bahawa akar umbi parti pada umumnya tidak mesra calon Melayu. Persepsi ini hanya akan menjadi lebih buruk walaupun mereka melantik dua lagi pemimpin Melayu ke dalam badan pembuat keputusan tertinggi DAP,” katanya kepada FMT.

Dua pemimpin Melayu yang dilantik adalah Ahli Jawatankuasa, Syahredzan Johan dan Timbalan Setiausaha Agung, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji.

Sehubungan itu, Azmi berpandangan, kepimpinan parti itu perlu mendidik akar umbi untuk menerima pemimpin Melayu bagi mengelak DAP terus dianggap sebagai parti anti-Melayu.

“Pesaing DAP telah cukup berjaya menggambarkan parti itu sebagai anti-Melayu dan bersifat cauvinis. Malangnya keputusan pemilihan CEC akan mengukuhkan persepsi seperti ini,” jelasnya.

Beliau percaya, walaupun setelah veteran parti Lim Kit Siang bersara daripada politik dan Lim Guan Eng tidak lagi menjadi Setiausaha Agung, namun persepsi bahawa DAP adalah parti anti-Melayu mungkin akan berterusan.

“Walaupun DAP berusaha keras untuk mengubah (persepsi) ini, dengan barisan CEC baharu dan bilangan wakil rakyat Melayu yang rendah, ia akan menjadi kerja yang sukar,” katanya.

Pada masa yang sama, Azmi memberitahu, pemilihan Loke Siew Fook sebagai Setiausaha Agung memberi “gambaran baik”, kerana beliau secara umumnya lebih diterima oleh orang Melayu dan kelihatan sebagai pemimpin yang sederhana.

“Jika kita ingat semasa zaman pentadbiran Pakatan Harapan (PH), sebagai Menteri Pengangkutan, beliau bekerja keras dan dengan gaya sederhananya diterima oleh orang Melayu,” katanya.

Beliau berkata, masa semakin singkat untuk DAP menarik orang Melayu memandangkan Pilihan Raya Umum (PRU) sudah tidak lama lagi.

“Ia sepatutnya meninggalkan wawasan ini buat masa ini dan membiarkan sekutunya PKR dan Amanah berusaha mendapatkan sokongan pengundi Melayu untuk calon DAP,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *