pelaburan kedah sanusi PAS logo

”Bawa ‘mai’ bukti, lapor SPRM” Sanusi cabar Dr.Salmee

Oleh RIZQI ZABIDI

Dalam nada cukup tegas, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mencabar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Dr. Salmee Said untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung maklumat yang didakwa diterima wakil rakyat PKR itu, mengenai salah laku rasuah yang berlaku dalam pembinaan asrama Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) di Kuala Ketil.

Menurut Muhammad Sanusi, dakwaan dibuat Salmee dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah semalam merupakan sesuatu yang mengejutkan.

Katanya, dakwaan itu sangat berat dan ia merupakan tohmahan yang tak dapat dibuktikan oleh ADUN berkenaan, yang memberi gambaran buruk kepada UniSHAMS, konsultan terlibat serta kerajaan negeri.

“Kalau Kota Siputeh ada bukti sungguh, sila buat laporan kepada SPRM di luar dewan ini nanti. Tuduh orang minta duit RM4 juta ini berat.

“Dewan ini bukan tempat tuduh orang. Bawa bukti ‘mai’ dan kalau ada bukti, laporkan kepada SPRM. Nak bagi gambaran buruk pada orang sampai buat tohmahan macam itu,” katanya dalam sesi penggulungan hari ini.

Salmee ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah semalam mendakwa, beliau menerima maklumat menyatakan terdapat syarikat yang bersedia untuk membina asrama tersebut serta memiliki modal yang cukup untuk melaksanakan projek tersebut.

Namun katanya, timbul masalah berhubung pembinaan asrama tersebut kerana pengurusan universiti didakwa melantik konsultan yang meminta hingga RM3 atau RM4 juta daripada syarikat tersebut.

Menjelaskan keadaan sebenar, Muhammad Sanusi berkata, perancangan untuk membina bangunan asrama bagi menempatkan 2000 pelajar itu telah dimuktamadkan dengan Mesyuarat Lembaga Pengarah Syarikat pada Januari 2022 telah meluluskan kaedah pembiayaan pembinaan projek tersebut secara Built Operat Transfer (BOT).

Katanya, skop projek itu telah diteliti jawatankuasa terdiri daripada kakitangan UniSHAMS, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pejabat Kewangan negeri.

“Kaedah tawaran adalah secara ‘request for proposal’ (RFP). RFP tersebut akan diuruskan pasukan perunding yang dilantik UniSHAMS dan dokumen tawaran RFP ini akan dikeluarkan pada Mei.

“Dah RFP tak keluar lagi, macam mana boleh tuduh konsultan minta duit pula? Apa yang dibangkitkan Kota Siputeh tidak benar dan tidak berasas,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *