kolam hiasan

8 remaja kantoi tuang sabun basuh dalam kolam hiasan

Oleh RAHIMI MOHAMAD

TINDAKAN sekumpulan remaja lelaki termasuk tiga pelajar sekolah menengah menuang cecair pencuci baju ke dalam kolam hiasan di hadapan pusat beli-belah Kluang Parade, di Kluang membawa padah apabila aksi mereka dirakam kamera litar tertutup (CCTV), pada Ahad lalu.

Akibatnya, kesemua remaja terbabit yang berusia antara 16 hingga 19 tahun itu ditahan polis kira-kira pukul 9.30 malam tadi setelah mereka menyerah diri di Balai Polis Sri Lalang, Kluang.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata, mereka ditahan susulan kes khianat terhadap kolam hiasan tersebut yang dipercayai akibat terpengaruh dengan aksi di aplikasi Tik Tok.

“Semalam kira-kira pukul 4 petang, pihak polis telah terkesan satu rakaman video tular berdurasi 55 saat yang dimuat naik oleh seorang pemilik akaun Facebook.

“Video itu jelas memaparkan tingkah laku sekumpulan penunggang motosikal membuat khianat terhadap harta dengan menuang dua tong cecair pencuci baju ke dalam kolam hiasan di Kluang Parade.

“Kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira 5.30 pagi, Ahad lalu dan susulan rakaman video tersebut, pihak polis telah mengenal pasti dan membuat tangkapan ke atas lapan lelaki yang disyaki terlibat untuk siasatan selanjutnya,” katanya, hari ini.

Hang Seng berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu khianat terhadap harta dan ujian saringan air kencing terhadap kesemua suspek pula adalah negatif.

“Pihak polis mengingatkan bahwa perbuatan vandalisme atau gejala laku musnah iaitu tabiat membinasakan harta benda awam atau harta benda orang lain boleh diambil tindakan undang-undang.

“Mana-mana pihak yang dikesan sengaja melanggar undang-undang akan diambil tindakan tanpa kompromi,” katanya lagi.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *