PELAKON Zul Ariffin yang dikaitkan dengan perkongsian video memaparkan aksi dan adegan drama yang tular baru-baru ini, akan disiasat.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa berkata, proses undang-undang sedang berjalan dan selebriti itu akan disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Proses undang-undang sedang berjalan. Pelakon Zul Ariffin akan disiasat bawah Seksyen 233 Akta KMM (Akta Komunikasi dan Multimedia 1998) kerana ‘posting’ (muat naik) YouTube yang menyalahi undang-undang.

“Yang pasti adegan seperti yang dipapar itu tidak akan dibenar tayang, sama ada bulan Ramadan atau bulan yang lain. Jagalah nilai dan budaya,” katanya di Twitter, lapor FMT

Terdahulu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menentang keras drama “Perempuan Itu” yang bakal ditayangkan pada Ramadan ini kerana mempamerkan aksi dan adegan tidak bermoral yang melampaui batas.

Ketua Pengarahnya, Hakimah Mohd Yusoff berkata, sebarang bentuk program seumpama itu jelas bertentangan dengan norma masyarakat dan hukum syarak.

Semalam, Zul tampil membuat permohonan maaf menerusi muat naik di laman Instagramnya.

Sedutan drama yang tular itu memaparkan aksi pelakon tidak senonoh sehingga mendapat bantahan banyak pihak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here