KEGHAIRAHAN beberapa pemimpin UMNO dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 pada minggu lalu yang membuat desakan terbuka agar Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan secepat mungkin disifatkan sebagai tindakan pentingkan diri.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr. Muhammad Faiz Na’aman berkata, tindakan itu juga boleh dianggap perbuatan khianat terhadap hak Yang di-Pertuan Agong dalam perihal kuasa membubarkan Parlimen.
“Ketika ekonomi dunia yang makin bergolak akibat konflik ketenteraan di Ukraine dan pertikaian di Laut China Selatan antara kuasa-kuasa besar, Malaysia memerlukan satu kerajaan yang kolektif.
“Ini bagi mewakili kepentingan setiap warganya untuk lebih fokus ke arah kemandirian ekonomi domestik seperti bekalan makanan, pendigitalan untuk menjimatkan kos dan masa serta pelan pertahanan negara yang holistik dan dikemas kini,” katanya memeyik laporan Sinar Harian.
Beliau yang membuat kenyataan itu menerusi hantaran dalam Facebook miliknya berkata, adalah tidak masuk akal apabila laungan mahu PRU secepat mungkin itu didasarkan atas alasan mahu kestabilan, sedangkan hakikatnya mahu mengadakan PRU dalam keadaan tergesa-gesa di waktu negara sedang pulih daripada wabak Covid-19 dan rata-rata rakyat sedang merangkak keluar dari kesempitan ekonomi.
“Saya menyeru semua warga Malaysia tanpa mengira kaum, negeri, parti politik dan status sosial agar mementingkan kestabilan serta keharmonian sebenar negara ini daripada dirobek dan diperkosa oleh kelompok oportunis.
“Mereka bukan saja korup malah angkuh kerana mahu terus mengekalkan gaya hidup mewah golongan kayangan yang pernah mendominasi politik nasional hingga Dasar Ekonomi Baru pun gagal mencapai sasarannya manakala tanah rizab Melayu pula makin mengecil seluruh negara,” katanya.
Katanya, kebiadaban sesetengah perwakilan UMNO yang menjerit bubar Parlimen dan tindakan Presiden UMNO yang menyisihkan Perdana Menteri, Datuk Seri ismail Sabri Yaakob menunjukkan sikap angkuh kluster mahkamah.
Tambah beliau, pujian perlu diberikan kepada Perdana Menteri kerana masih tegas berprinsip tidak mencampuri urusan mahkamah dan institusi kehakiman sepertimana prinsip yang dipegang oleh Perdana Menteri ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Mungkin kerana prinsip itu jualah Datuk Seri Ismail Sabri sedang diasak dari segenap penjuru oleh beberapa pemimpin UMNO yang sudah tidak sabar untuk meruntuhkan kerajaan sendiri sekali lagi.
“Mungkin kluster mahkamah dan para penyokongnya lupa diri bahawa kestabilan serta keharmonian tadbir urus negara ini bukan sekadar bergantung kepada dominasi satu parti tunggal namun atas kerjasama serta perkongsian kuasa yang adil antara semua pihak,” ujarnya.
Sehubungan itu, jelas Muhammad Faiz, adalah wajar setiap pemegang taruh dalam urusan politik negara ini termasuk pihak pembangkang yang membuat memorandum persefahaman dengan kerajaan untuk turut dirujuk apabila membicarakan soal mahu bubar parlimen.
“Begitu juga dengan parti-parti yang membentuk kerajaan Malaysia hari ini seperti Perikatan Nasional (PN) dan GPS (Gabungan Parti Sarawak), semua itu wajar dihormati dan diambil kira pendapatnya,” katanya.
Leave a Reply