SEBUAH pesawat Boeing 737 milik China Eastern Airlines yang membawa 132 penumpang dan sembilan kru dalam penerbangan dari Kunming ke Guangzhou dilaporkan terhempas di kawasan pergunungan di China.
Memetik laporan Mirror, asap tebal dilihat berkepul-kepul di lokasi kejadian.
Stesen televisyen China melaporkan, pesawat Boeing 737 tersebut mengalami ‘nahas’ di ruang udara Guangxi.
Setakat ini tidak diketahui berapa jumlah mangsa yang terkorban atau cedera manakala pasukan penyelamat dalam perjalanan ke kawasan pergunungan itu.
Jabatan Pengurusan Kecemasan Guangxi dalam satu kenyataan berkata, pesawat tersebut terhepas di Mukim Teng, Wuzhou, Guangxi dan menyebabkan kebakaran di kawasan pergunungan.
“Ketika ini, pasukan kecemasan telah dikumpul dan digerakkan manakala jumlah korban tidak diketahui,” jelasnya.
Sementara itu, Rangkaian Keselamatan Penerbangan dalam ciapan Twitter menyatakan telah menerima beberapa laporan yang belum disahkan mengenai kemungkinan nahas melibat penerbangan China Eastern Airlines MU5735.
Data penerbangan yang didakwa dari penerbangan itu menunjukkan pesawat berusia enam tahun itu jatuh dari ketinggian beribu-ribu kaki ke bumi dalam masa beberapa minit, menyebabkan kru tidak dapat bertindak menangani masalah yang dihadapi.
MU5735 berlepas dari Kunming pada pukul 1.11 petang waktu tempatan, menurut data yang dikeluarkan oleh FlightRadar24.
Penjejakan pesawat berakhir pada pukul 2.22 petang waktu tempatan pada ketinggian sekitar 30,000 kaki dengan kelajuan 376 knot sebelum ia tiba-tiba terjunam ke bumi.
Leave a Reply