Speaker, Timbalan Speaker positif Covid-19:NS tangguh sidang DUN

NEGERI SEMBILAN menangguhkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Ke-14 yang sepatutnya bermula hari ini disebabkan Yang Dipertua DUN, Datuk Zulkefly Mohamad Omar dan timbalannya, Datuk M. Ravi disahkan positif Covid-19.

Perasmian persidangan pertama bagi penggal kelima DUN Negeri Sembilan itu sepatutnya bermula empat hari sehingga Khamis ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, tarikh baharu akan dimaklumkan setelah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir untuk mendapat perkenan baginda.

“Pagi tadi saya bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Dr. Razali Ab. Malik pada pukul 8 pagi mengadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan memaklumkan perkembangan Speaker dan Timbalan Speaker didapati positif Covid-19.

“Perkara ini dimaklumkan kepada baginda. Tarikh baharu akan dimaklumkan dalam tempoh terdekat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar. Kita cuba cadangkan tarikh pada Ramadan ini,” katanya memetika laporan Sinar Harian, hari ini.

Dalam pada itu, Aminuddin menjelaskan Speaker DUN sementara boleh dilantik tetapi memandangkan suasana Covid-19 selain ramai petugas dewan dilaporkan turut positif, persidangan tersebut terpaksa ditangguhkan.

“Sedia maklum ada Rang Undang-Undang (RUU) akan dibentang. Jadi, perlu ada Speaker dan timbalannya pada waktu tersebut (sidang DUN),” katanya.

Aminuddin berkata, Zulkefly disahkan positif pada tengah malam Ahad manakala Ravi pada Sabtu lalu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *