Tag: Positif Covid-19

  • Pemilih positif COVID-19 tak dibenar guna pengangkutan awam mengundi – KKM

    Pemilih positif COVID-19 tak dibenar guna pengangkutan awam mengundi – KKM

    PEMILIH yang layak mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan positif COVID-19 tidak dibenarkan menaiki pengangkutan awam termasuk e-hailing pada hari pengundian 19 November ini.

    Ia antara beberapa langkah am proses pengundian yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan proses berjalan dengan selamat dan mengurangkan risiko jangkitan kepada pengundi lain serta petugas di pusat pengundi.

    KKM menerusi hantaran di Facebook berkata, pengundi positif COVID-19 juga disaran untuk tidak singgah di mana-mana tempat sama ada sebelum atau selepas mengundi dengan segera pulang selepas selesai membuang undi.

    “Pemakaian pelitup muka diwajibkan bagi semua kes positif COVID-19 dan amat digalakkan bagi pengundi lain.

    “Pengundi positif COVID-19 perlu mematuhi penjarakan fizikal yang selamat manakala penjarakan fizikal bagi pengundi lain amat digalakkan,” katanya hari ini.

    Berdasarkan nasihat am kepada pengundi PRU yang dikongsikan itu juga, pengundi dinasihatkan memastikan tangan dibersihkan dengan pensanitasi tangan di tempat yang dikenal pasti mengundi dan turut disyorkan agar membawa pensanitasi tangan sendiri.

    “Petugas kesihatan akan ditempatkan di pusat mengundi bagi membantu melicinkan urusan pengundian bagi pengundi positif Covid-19,” katanya lapor Sinar Harian.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebelum ini dilapor KKM akan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) COVID Safe Election, dengan mengesyorkan individu positif COVID-19 dibenarkan untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi pada PRU15 tidak lama lagi.

    Beliau berkata, kebenaran itu akan dimuktamadkan dan disyorkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam masa terdekat, dengan pematuhan SOP yang ketat

  • Speaker, Timbalan Speaker positif Covid-19:NS tangguh sidang DUN

    Speaker, Timbalan Speaker positif Covid-19:NS tangguh sidang DUN

    NEGERI SEMBILAN menangguhkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Ke-14 yang sepatutnya bermula hari ini disebabkan Yang Dipertua DUN, Datuk Zulkefly Mohamad Omar dan timbalannya, Datuk M. Ravi disahkan positif Covid-19.

    Perasmian persidangan pertama bagi penggal kelima DUN Negeri Sembilan itu sepatutnya bermula empat hari sehingga Khamis ini.

    Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, tarikh baharu akan dimaklumkan setelah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir untuk mendapat perkenan baginda.

    “Pagi tadi saya bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Dr. Razali Ab. Malik pada pukul 8 pagi mengadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan memaklumkan perkembangan Speaker dan Timbalan Speaker didapati positif Covid-19.

    “Perkara ini dimaklumkan kepada baginda. Tarikh baharu akan dimaklumkan dalam tempoh terdekat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar. Kita cuba cadangkan tarikh pada Ramadan ini,” katanya memetika laporan Sinar Harian, hari ini.

    Dalam pada itu, Aminuddin menjelaskan Speaker DUN sementara boleh dilantik tetapi memandangkan suasana Covid-19 selain ramai petugas dewan dilaporkan turut positif, persidangan tersebut terpaksa ditangguhkan.

    “Sedia maklum ada Rang Undang-Undang (RUU) akan dibentang. Jadi, perlu ada Speaker dan timbalannya pada waktu tersebut (sidang DUN),” katanya.

    Aminuddin berkata, Zulkefly disahkan positif pada tengah malam Ahad manakala Ravi pada Sabtu lalu.

  • 512 polis Negeri Sembilan, ahli keluarga positif Covid-19 sejak Januari

    512 polis Negeri Sembilan, ahli keluarga positif Covid-19 sejak Januari

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SERAMAI 512 anggota polis Negeri Sembilan termasuk ahli keluarga mereka disahkan positif Covid-19 serta dikuarantin sejak Januari lalu.

    Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Che Zakaria Othman berkata, anggota berkenaan dijangkiti Covid-19 berikutan penugasan dalam memerangi penularan wabak berkenaan.

    “Daripada jumlah itu seorang anggota polis dan seorang ahli keluarga telah meninggal dunia namun jangkitan dalam kalangan warga polis masih terkawal.

    “Angka itu menunjukkan peningkatan berbanding 545 anggota yang dijangkiti sepanjang tahun lepas sebab belum habis tahun, kita sudah ada 512 yang dijangkiti.

    “Bagaimanapun, Alhamdulillah setakat ini majoriti yang dijangkiti itu hanya pada tahap satu dan dua sahaja,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan 1,000 bakul makanan sempena program Op Bantu dengan kerjasama syarikat swasta di Seremban hari ini.

    Justeru, menyedari risiko berkenaan beliau meminta anggota polis dan ahli keluarga mereka supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard ketika menjalankan tugas selain anggota dan ahli keluarga divaksin.

  • Pegawai Tun M positif Covid-19

    Pegawai Tun M positif Covid-19

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SEORANG pegawai kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dikesan positif Covid-19.

    Menurut sumber Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pegawai tersebut antara 11 individu yang didapati positif dalam saringan yang dilakukan di Parlimen Khamis lalu.

    Menurut laporan Astro Awani, pegawai kepada Ahli Parlimen Langkawi itu juga didapati positif dengan varian yang membimbangkan (VOC), Delta.

    Ujian saringan ke atas Dr. Mahathir didapati negatif dan beliau juga tiada sebarang kontak dengan pegawai berkenaan ketika di Parlimen.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada Jumaat lepas berkata, semua yang akan hadir ke sesi sidang Mesyuarat Khas Parlimen Isnin ini dinasihatkan untuk menjalani ujian saringan Covid-19 terlebih dahulu. – SB

  • Maritim bawa tiga pesakit positif Covid-19 dari pulau

    Maritim bawa tiga pesakit positif Covid-19 dari pulau

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Mersing memberikan perkhidmatan Medical Evacuation (MedEvac) bagi membawa tiga pesakit Covid-19 dari Pulau Aur ke Jeti Syahbandar, Mersing semalam.

    Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, Zon Maritim Mersing menerima panggilan Pejabat Daerah Mersing memohon bantuan membawa tiga penduduk Pulau Aur yang dijangkiti Covid-19 ke Hospital Mersing.

    “Berikutan itu Bot Perkasa 31 Zon Maritim Mersing bersama-sam lima anggota Maritim Malaysia lengkap berpakaian Personal Protection Equipment (PPE) telah ditugaskan ke Pulau Aur bagi melaksanakan khidmat MedEvac.

    “Perkasa 31 tiba di lokasi sekitar jam 3.30 petang dan terus memindahkan tiga pesakit wanita yang berusia 15 hingga 77 tahun untuk dibawa ke Jeti Syahbandar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, perjalanan dari Pulau Aur ke Jeti Syahbandar mengambil masa selama lebih kurang dua jam.

    Sebaik tiba di Jeti Syahbandar katanya, pesakit terus dipindahkan ke ambulan yang telah bersedia menunggu untuk ke Hospital Mersing bagi rawatan lanjut.

    Kesemua anggota Maritim Malaysia dan Bot Perkasa 31 telah disanitasi dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, katanya.

    “Pihak maritim Johor mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang membantu dalam misi bantuan ini,” katanya.