masidi manjun

‘Saya sanggup tumbuk meja kalau tak puas hati’ – Masidi

ISU tuntutan terhadap hak minyak dan gas dengan kerajaan Pusat dan Petronas menjadi keutamaan bagi Menteri Kerajaan Tempatan dan Perubahan Sabah, Datuk Masidi Manjun.

Malah, beliau menegaskan sanggup ‘menumbuk meja’ sekiranya tidak berpuas hati dengan hasil rundingan mengenai tuntutan tersebut.

Memetik laporan FMT, Masidi yang juga ketua pasukan rundingan Sabah memberi jaminan akan memastikan misi untuk mengembalikan hak Sabah ke atas minyak dan gas yang dikeluarkan dari negeri itu mencapai kejayaan yang dikehendaki rakyat.

“Pasal gas jangan risau. Walaupun saya ini orang kampung, orang Dusun atau orang bukit dari Ranau saya akan pasti mempertahankan hak Sabah.

“Saya sanggup keluar bilik rundingan dan tumbuk meja jika tidak puas hati,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang) pada sesi soal jawab persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di Kota Kinabalu, hari ini.

Shafie yang juga ketua pembangkang DUN Sabah bertanya mengenai usaha kerajaan negeri dalam memastikan hak minyak dan gas negeri itu benar-benar dikembalikan seperti yang dituntut menerusi rundingan dengan Petronas.

Masidi menambah, hasil ketegasan kerajaan negeri, Petronas bersetuju membangunkan fasiliti minyak dan gas terapung di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).

Katanya, projek itu akan dilaksanakan pada tahun ini seperti yang sudah dipersetujui.

“Petronas sudah bersetuju membina fasiliti ini di SOGIP, tiada toleh-toleh lagi dan insyaAllah akan dilaksanakan pada tahun ini,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Masidi ketika menjawab soalan tambahan ADUN Dilantik, Datuk Yong Teck Lee berkaitan kerahsiaan rundingan dengan Petronas, beliau menjelaskan perkara itu adalah kelaziman dalam amalan perniagaan.

Namun katanya, kerahsiaan itu hanya berlaku ketika perundingan masih dijalankan tetapi isi rundingan akan terdedah dengan sendirinya apabila perkara yang dirundingkan berjaya dan menjadi kenyataan.

“Contohnya kita diberi hak ambil alih ekuiti syarikat Petronas, apabila sampai kita ambil alih ia akan didedah kepada orang ramai, tapi memandangkan ada saingan dalam perniagaan, ia dirahsiakan ketika rundingan.

“Namun, satu demi satu akan didedahkan juga kepada awam apabila tiba masanya. Itu niatnya kerahsiaan itu, bukan tidak mahu beritahu atau ada sesuatu yang kita mahu sembunyikan, tiada niat seperti itu,” ujarnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *