annuar musa pemilihan umno

Mahu tangguh pemilihan? Pinda Perlembagaan UMNO dahulu

BEKAS Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa membayangkan bahawa penangguhan pemilihan parti tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya.

Menurut beliau, Perlembagaan UMNO perlu dipinda terlebih dahulu bagi membolehkan pemilihan parti dilakukan.

“Ini terlebih dahulu memerlukan Perlembagaan UMNO dipinda,” katanya dalam ciapan Twitter hari ini.

Annuar yang juga Ketua UMNO Bahagian Ketereh mengulas ucapan penggulungan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO 2021 kelmarin.

Mohamad dilaporkan berkata, Perhimpunan Agung UMNO 2021 meluluskan usul supaya pemilihan parti ditangguhkan enam bulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan UMNO berkata perkara yang hangat dibangkitkan dalam parti sejak akhir-akhir ini telah selesai dan meminta Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan segera memaklumkan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) berhubung perkara itu.

Pemilihan UMNO dijadual diadakan selewat-lewatnya Disember ini selepas ditangguh pada tahun lepas berikutan pandemik COVID-19.

Keputusan menangguhkan pemilihan UMNO itu meranapkan usaha dan peluang untuk membebaskan UMNO daripada cengkaman kluster mahkamah sebelum PRU-15.

UMNO berdepan risiko ditolak sekali lagi oleh rakyat sekiranya bertanding dalam PRU-15 dalam keadaan parti itu masih didominasi kluster mahkamah.

Pada PRU-14, Barisan Nasional (BN) yang diketuai UMNO mengalami kekalahan yang memalukan sehingga menyebabkan parti itu gagal membentuk kerajaan.

Ketika ini, bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam proses rayuan setelah didapati bersalah dalam kes SRC International.

Beliau juga sedang berdepan perbicaraaan dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang telah memalukan negara di seluruh pelosok dunia.

Ahmad Zahid sendiri masih bergelut dengan 87 pertuduhan berkaitan rasuah di mahkamah.

Pemimpin-pemimpin UMNO lain yang sedang dibicarakan di mahkamah ialah Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim dan Datuk Seri Bung Moktar Radin.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *