Oleh RIZQI ZABIDI
JUMLAH kemasukan pelaburan ke Kedah pada 2022 dan tahun-tahun seterusnya diyakini mampu mencapai sasaran melebihi RM10 bilion setahun, seperti ditetapkan dalam Pelan Pembangunan Kedah 2035.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, meskipun kejayaan mencatat rekod pelaburan sebanyak 68.3 bilion pada tahun lalu sukar diulangi, namun beliau yakin betapa negeri ini akan terus mampu mencatat jumlah kemasukan pelaburan yang tinggi.
Katanya, keyakinan itu bersandarkan kepada beberapa usaha yang telah diambil dan akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri dalam masa terdekat.
“Antaranya kita telah mengambil langkah untuk menyediakan dua fasa baharu iaitu fasa 4A dan fasa 5 di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP). Di kedua-dua fasa ini, sudah ada pihak yang menyatakan minat untuk ‘masuk’ malah pelabur sedia ada juga beri komitmen mahu perluaskan kawasan industri mereka di situ.
“Selain itu kerajaan negeri dalam masa sama kini turut memiliki perancangan untuk membuka satu lagi kawasan industri di Gurun melibatkan tanah lebih 404 hektar. Sebab itu saya yakin, angka pelaburan sebanyak RM10 bilion pada 2022 dan tahun-tahun berikutnya bukanlah sesuatu yang mustahil,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah bertitah secara dalam talian bagi merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Ke-5, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Ke-14 di sini, hari ini.
Dalam titah baginda itu, Sultan Al Aminul Karim menzahirkan rasa berbangga dengan kejayaan Kedah mencatat sejarah dan rekod baharu pelaburan berjumlah RM68.3 bilion pada tahun lalu di sebalik pandemik Covid-19.
Muhammad Sanusi menambah, Kedah pada masa akan datang bakal berubah dengan tidak lagi bergelar negeri pertanian semata-mata sebaliknya bakal muncul sebagai kuasa industri di utara tanah air.
“Di sini kita dapat melihat perkembangan baik di SBEZ, pembangunan Taman Teknologi Sains Kedah (KSTP) oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) serta perasmian KRC oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“”Semua ini akan melonjakkan Kedah sebagai kuasa industri baharu. Cuma kita kena sediakan rakyat untuk menyambut pembangunan sektor industri ini melalui persediaan dari segi ilmu serta kemahiran, bagi memenuhi keperluan industri,” katanya.
Leave a Reply