PARA pemimpin parti politik digesa melupakan terlebih dahulu tumpuan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dalam masa terdekat sebaliknya memfokuskan usaha menangani krisis ekonomi dan kesihatan yang sedang dihadapi negara serta rakyat ketika ini.
Gesaan itu disuarakan Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Fadillah Yusof ketika ditanya mengenai desakan sesetengah pemimpin politik supaya PRU-15 diadakan lebih awal.
Beliau yang juga Menteri Kanan Kerja Raya berkata, pemimpin politik khususnya yang berada di dalam kerajaan perlu memberi fokus untuk memperkukuhkan urusan pentadbiran negara.
Dalam masa sama tegasnya, tumpuan juga perlu diberikan dalam memastikan majoriti rakyat berada di dalam keadaan lebih baik dan krisis kesihatan dapat dipulihkan.
“Apa pun untuk mengadakan PRU-15 itu terletak pada budi bicara dan bidang kuasa Perdana Menteri serta Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas meninjau projek penggantian Jambatan Titi Kerawang, di Balik Pulau, Pulau Pinang hari ini.
Gesaan supaya PRU-15 disegerakan semakin lantang kedengaran sepanjang Perhimpunan Agung UMNO 2021 yang sedang berlangsung ketika ini yang didorong kemenangan besar UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam beberapa pilihan raya negeri termasuk di Johor dan Melaka sebelum ini.
Malah, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut memberi bayangan PAU 2021 itu merupalan kali terakhir sebelum semboyan pilihan raya dibunyikan.
Dalam pada itu, Fadillah berkata, apa yang menjadi keutamaan kerajaan ketika ini yang juga seharusnya disokong pemimpin parti politik adalah mengatur langkah dan strategi supaya ekonomi negara berada dalam keadaan lebih baik.
“Dengan situasi ekonomi dan kewangan negara berada pada keadaan baik, maka kerajaan akan dapat memberi tumpuan kepada menjaga kebajikan rakyat,” katanya.
Leave a Reply