RAFIZI Ramli mendakwa penyokong setia Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal mewujudkan naratif yang kuat untuk parti itu dan Pakatan Harapan (PH) sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Memetik laporan Malaysiakini, beliau yang mengumumkan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan kali ini berkata demikian dalam sesi perbincangan bertajuk “Terpaling Terus-terang” bersama-sama Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar semalam.
Rafizi yang tewas dalam persaingan merebut jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan lalu menambah, parti itu gagal meyakinkan orang ramai terhadap naratif asalnya, yang dibentuk oleh faktor seperti ketekalan dan komitmen untuk menawarkan penyelesaian kepada masalah rakyat.
“Dari keputusan di Sarawak, Sabah, Melaka dan Johor, (kita lihat) macam mana kuat pun kerja di bawah, kalau naratif di peringkat pusat tak kuat, kita akan ketinggalan.
“Saya kasihan dengan Anwar kerana penyokongnya ramai tapi (mereka) tak bantu untuk cipta naratif.
“Kadang-kadang (kalangan) yang setia ini yang menarik dia ke bawah. Kalau nak harap Anwar seorang, letihlah dia,” katanya ketika menjawab soalan yang diajukan Pengerusi PKR Johor Syed Ibrahim Syed Noh yang bertindak sebagai moderator.
Mungkin Rafizi terlepas pandang bahawa Anwar sendiri merupakan ‘biawak hidup’ yang terpaksa dipikul oleh PH.
Rejim PH hanya dapat berkuasa selama 22 bulan sahaja gara-gara sikap Anwar yang tidak sabar menunggu Tun Dr Mahathir Mohamad menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepadanya.
Rakyat juga semakin bosan dengan gelagat Anwar yang tidak sudah-sudah menjaja naratif bahawa beliau adalah individu yang paling layak untuk menyandang jawatan Perdana Menteri.
Kebosanan rakyat itu diterjemahkan dalam bentuk protes terhadap PH dalam beberapa kekalahan memalukan pada pilihan raya kecil (PRK) dan pilihan raya negeri (PRN) selepas PRU-14.
Setelah PH kalah teruk pada PRN Sabah, Melaka dan Sarawak, PKR memutuskan untuk bertanding menggunakan logo sendiri pada PRN Johor.
Namun langkah itu tidak memberi sebarang makna kerana PKR dan PH tetap kalah teruk.
Kesimpulannya, PKR akan tetap ditolak oleh rakyat selagi Anwar menjadi Presidennya.
Leave a Reply