BOSNIA dan Herzegovina mempunyai hak untuk memilih sama ada mahu menjadi anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) atau sebaliknya, tetapi Moscow berhak bertindak berdasarkan kepentingan negaranya, lapor Agensi Anadolu, memetik perwakilan Rusia.
“Jika Bosnia dan Herzegovina memutuskan untuk menjadi ahli sebarang pertubuhan, ia adalah perkara dalaman. Tetapi terdapat perkara lain boleh mencetuskan reaksi kami.
“Dalam isu Ukraine, kami bertindak balas terhadap ancaman,” kata Duta Rusia ke Bosnia dan Herzegovina, Igor Kalabukhov kepada Persekutuan Televisyen Bosnia dan Herzegovina, pada Khamis.
Kalabukhov berkata, rakyat Bosnia tidak perlu bimbang dengan Rusia.
Beliau percaya keselamatan di Bosnia terjamin jika situasi politik berkembang menerusi dialog, tanpa sebarang tindakan radikal.
Ahli Majlis Presiden Bosnia dan Herzegovina, Sefik Dzaferovic menyifatkan kenyataan Kalabukhov sebagai “serangan ke atas integriti wilayah Bosnia dan Herzegovina.”
“Bosnia dan Herzegovina ialah sebuah negara berdaulat ia berhak membuat keputusan sendiri mengenai masa depannya berdasarkan rangka kerja Perlembagaan dan undang-undang, dan bertindak atas permintaan serta kepentingan rakyatnya. Kami tidak akan menurut kemahuan pihak lain dan Rusia tidak ada hak untuk memastikan masa depan Bosnia,” kata Dzaferovic.
Dzaferovic sebelum ini berkata, Bosnia dan Herzegovina akan lebih selamat dan dilindungi jika menjadi sebahagian ahli Kesatuan Eropah dan NATO.
Beliau menggesa EU dan NATO membuka pintu keanggotaan kepada Bosnia dan Herzegovina dan negara-negara barat Balkan yang lain, sambil berkata ia akan menghalang risiko, bahaya dan situasi sama seperti krisis di Ukraine. – BERNAMA
Leave a Reply