KEADAAN yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang menyaksikan kemenangan berpihak kepada Barisan Nasional (BN) dijangka berulang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) jika diadakan dalam masa terdekat.
Menurut Pengerusi Parti Amanah Nasional (Amanah) Selangor, Ir. Izham Hashim, ini kerana perpecahan dalam kalangan parti pembangkang ketika ini sudah tentu akan memberi kelebihan kepada BN.
“Situasi yang berlaku dalam PRN baru-baru ini sebenarnya tidak memperlihatkan kekuatan sebenar BN, namun kegagalan parti-parti pembangkang untuk bersatu telah mempengaruhi kemenangan BN sehingga memperoleh majoriti dua pertiga di Johor.
“Ya, situasi yang sama akan berlaku jika PRU-15 diadakan dalam masa terdekat. Sebenarnya undi popular BN (pada PRN Johor) tidak bertambah banyak, hanya kegagalan pembangkang ialah terlalu berpecah.
“Semua (parti pembangkang) nak bawa parti baharu dan jika kaedah ini berterusan tentulah yang untung BN dan nasihat saya supaya parti-parti pembangkang bersatu padu menghadapi BN (pada PRU15),” katanya memetik Sinar Harian hari ini.
PRN Johor pada Sabru lalu menyaksikan cubaan 85 calon menjadi wakil rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya itu pulang dengan ‘tangan kosong’ selepas kehilangan deposit.
Ini termasuk calon tiga parti baharu yang membuat langkah sulung iaitu Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang mempertaruhkan 42 calon, Parti Bangsa Malaysia (PBM) (empat) dan Parti Bumiputra Perkasa Malaysia (Putra) (satu).
Mengulas lanjut, Izham tidak menolak kemungkinan calon-calon daripada parti baharu juga akan kehilangan deposit dalam saingan dengan calon sudah lama bertapak di Selangor sekiranya PRN negeri itu diadakan.
“Parti-parti baharu agak sukar di Selangor kerana mereka tidak ada ‘power base’ dan ‘grass roots’ di sini namun Pakatan Harapan (PH) sedia bekerjasama untuk menjatuhkan BN di peringkat pusat,” katanya.
Leave a Reply