SEORANG mekanik didakwa di Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian empat sekeluarga di Lebuhraya Sultan Iskandar, bulan lepas.
Aliff Asyraf Abu, 27, yang memakai pendakap leher dan bertongkat mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Amanina Mohamad Anuar.
Aliff Asyraf didakwa memandu kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dengan melulu atau kelajuan yang berbahaya kepada orang awam dan menyebabkan kematian kepada pemandu C.Tinisha, 31; dan tiga penumpang iaitu P. Milan Damani, 32; Ishaan Ivaan Damani, 4; dan Rihaan Ivaan Damani, 3; pada 11.20 pagi, 27 Feb lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000 selain hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Siti Nursyuhada Abd Rauf menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin.
Peguam Muhammad Izzat Hasizan yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan selepas kejadian anak guamnya tidak bekerja kerana kudratnya tidak kuat seperti sebelum ini selain telah memberi kerjasama baik sepanjang siasatan dijalankan walaupun terlantar di hospital.
“Ini kesalahan pertama tertuduh dan dia bukan penjenayah tegar yang perlu dikenakan jaminan tinggi,” katanya dan menambah bahawa tertuduh bukan di bawah pengaruh alkohol ketika memandu.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan lesen memandunya digantung sehingga kes selesai dan menetapkan 28 April untuk sebutan kes.
Pada 27 Feb lepas, media melaporkan kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dipandu dari arah Mahameru menghala Jalan Tun Razak, terbabas di selekoh sebelum melanggar pokok yang berada di pembahagi jalan.
Kenderaan tersebut masuk ke laluan bertentangan dan merempuh kereta jenis pelbagai guna (MPV) Hyundai Starex, yang dinaiki empat sekeluarga dan akibat rempuhan itu pasangan terbabit dan dua anaknya meninggal dunia di lokasi kejadian.
— BERNAMA
Leave a Reply