Peluang terbaik singkirkan ‘kluster mahkamah’

Tok Chey sebelum ini memang sokong UMNO dan BN. Parti itu memang banyak jasa kepada rakyat dan negara.

Di kampung Tok Chey pun UMNOlah satu-satunya parti yang dapat tolong ahlinya dalam apa masalah sekalipun.

Sudah terbukti UMNO mempunyai gerak kerja yang tersusun bermula daripada proses bantuan bencana hinggalah kepada gerak kerja sewaktu pilihan raya.

Semuanya kerana sokongan akar umbi yang kuat terhadap parti politik tertua dalam sejarah negara. Ahli-ahlinya juga setia dan tidak mudah terpesong prinsip pegangan politik seperti ahli parti politik lain.

Tidak dapat dinafikan ramai pemimpin dalam UMNO yang bagus-bagus dan boleh diharap untuk membela rakyat dalam waktu susah.

Cumanya apabila UMNO dikuasai oleh ‘kluster mahkamah’ iaitu orang yang terpalit dengan kes jenayah rasuah dan salah guna kuasa, maka Tok Chey rasa pemimpin UMNO lain yang bersih perlu bangkit bersuara. Tidak perlu Tok Chey sebutkan nama mereka, tapi semua ahli dan pemimpin UMNO dapat meneka siapa mereka yang bermasalah itu.

UMNO tidak boleh melupakan luka lama ditolak rakyat gara-gara tindakan ‘kluster mahkamah’ yang mengheret parti itu jatuh ke tahap paling lemah.

Oleh itu, Tok Chey harap sangat Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pada 16 hingga 19 Mac ini menjadi medan terbaik untuk mendesak ‘kluster mahkamah’ supaya berundur dan memberikan ruang kepada muka baharu untuk mentadbir UMNO.

Usah dibuai dengan kejayaan beberapa pilihan raya negeri (PRN) untuk terus mengekalkan muka-muka pemimpin yang terpalit dengan kes dan pendakwaan mahkamah kerana keputusan yang diperolehi pada PRN sebelum ini bukan gambaran mutlak UMNO-BN disukai rakyat.

Contohnya pada PRN Johor Sabtu lalu, berdasarkan undi popular, daripada keseluruhan 1,426,573 orang yang keluar mengundi, 599,753 orang sahaja yang menyokong BN manakala 826,820 orang lagi mengundi parti lain.

Dari segi peratusan pula, jumlah undi yang BN perolehi ialah 43.11 peratus manakala 56.89 peratus lagi mengundi parti selain BN.

Pada PRN Johor juga, sejumlah 1,173,224 pengundi tidak turun membuang undi dan Tok Chey tidak dapat meneka apa pola pengundian mereka sama ada mereka akan menyokong BN, parti lain atau membuat undi protes.

Begitu juga dengan kemenangan pada PRN Melaka sebelum ini, ia disumbangkan oleh peratusan keluar mengundi yang rendah.

Jika jumlah keluar mengundi tinggi seperti mana pada PRU14, adakah BN mampu memperoleh kemenangan?

UMNO-BN bernasib baik menang kerana parti lain berpecah dan bagaimana jika parti lain dapat bersatu dan bekerjasama saat-saat akhir untuk menumbangkan BN?

Oleh sebab itu, UMNO perlu cepat-cepat membersihkan parti itu kerana medan PAU kali ini adalah peluang terbaik untuk benar-benar membebaskan UMNO daripada belenggu isu integriti.

Jangan hanya fokus kepada untuk mendesak PRU15 kerana kunci untuk membubar Parlimen ada di tangan pemimpin UMNO sendiri.Bila-bila masa sahaja ia boleh dibuat.

Tok Chey harap sangat pemimpin muda yang sayangkan UMNO, yang memang ikhlas berjuang demi bangsa dan agama, yang jujur dan amanah segera bertindak untuk membersihkan UMNO.

Lagipun UMNO tidak akan mati, atau berkubur malah akan lebih hebat jika bebas daripada pemimpin bermasalah itu.

Berubahlah, dan bertindak dari sekarang kerana jika tidak, UMNO perlu melalui satu lagi episod duka ditolak rakyat pada PRU15.

Dan apabila terjadi lagi pada masa itu, amatlah sukar untuk UMNO kembali bangkit.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *