Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
MENTERI Besar Johor yang baharu, Datuk Onn Hafiz Ghazi menghargai pengorbanan Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad yang melepaskan jawatan dan memberi peluang kepada orang muda memimpin Johor.
Onn Hafiz berkata, pengorbanan bekas Menteri Besar Johor itu bukan sahaja menunjukkan betapa besarnya hati dan jiwa tetapi membuktikan beliau meyakini peranan dan kemampuan orang muda dalam mengemudi Johor.
“Insya-Allah, saya akan sentiasa memohon khidmat nasihat beliau yang jauh lebih berpengalaman daripada saya.
“Semoga gabungan orang yang berpengalaman dengan tenaga dan idealisme orang muda akan dapat membangun dan memperkukuhkan negeri ini agar terus disegani dan melangkah lebih jauh lagi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-19 selepas mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene, Johor Bahru, hari ini.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Sabtu lalu, Onn Hafiz, 44, yang merupakan anak saudara kepada Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Husseinmenewaskan tiga pencabarnya di kerusi DUN Machap dengan majoriti 11,029 undi.
Mengulas lanjut, Onn Hafiz berkata, segala janji yang dibuat Barisan Nasional (BN) semasa PRN Johor akan ditunaikan sebaik mungkin.
Beliau memohon semua Bangsa Johor tidak kira kaujm, agama dan latar belakang untuk bersama-samanya bersatu hati, minda dan tenaga untuk terus membangunkan negeri ini.
“Saya juga ingin memohon doa daripada semua agar segala langkah yang akan kita atur bersama selepas ini akan mendapat keberkatan Allah SWT serta mencapai segala matlamat yang disasarkan demi kemaslahatan Negeri ini dan setiap daripada rakyatnya.
“Saya percaya bahawa sesuatu itu hanya akan terjadi dengan izin dan kehendak-Nya jua. Justeru, saya terima mandat ini dengan tekad dan keazaman untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberi dengan segala tenaga, kudrat dan kemampuan yang saya ada,” katanya.
Anak saudara kepada Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein itu juga merafak sembah menjunjung kasih kepada Sultan Johor atas perkenan baginda melantiknya sebagai Menteri Besar Johor yang ke-19.
“Patik sesungguhnya merasa insaf dan kerdil dengan amanah dan kepercayaan yang diberikan. Namun, tanggungjawab yang amat besar ini akan patik galas dengan sepenuh hati dan dedikasi, serta dengan sedaya upaya patik demi kesejahteraan dan kemakmuran Negeri dan Bangsa Johor.
“Patik juga menjunjung kasih ke bawah Duli Yang Amat Mulia Mejar Jeneral Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang turut berangkat sama. Patik menjunjung kasih diatas segala nasihat dan tunjuk ajar yang diberikan,” katanya.
Setinggi-tinggi penghargaan juga dizahirkannya kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan; Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kepimpinan UMNO Pusat dan Johor.
Leave a Reply