TIGA individu termasuk seorang pengarah syarikat hartanah bergelar ‘Datuk Seri’ dihadapkan ke dua Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan pecah amanah dan bersubahat membabitkan wang sewa sebuah unit pejabat berjumlah RM52,000, tahun lepas.
Datuk Seri Chua Eng Wan, 48, Teh Guat Wei, 31, dan Chua Jia Meng, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman dan Kamarudin Kamsun.
Di hadapan Sabariah, Eng Wan didakwa sebagai pengarah di sebuah syarikat diamanahkan dengan penguasaan wang berjumlah RM52,000 yang merupakan wang sewa sebuah unit pejabat di Arkadia Desa Park City Kepong, telah melakukan pecah amanah dengan menggunakan wang tersebut.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Arkadia Desa Park, Sentul pada 11 Okt 2021 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.
Di hadapan Kamarudin, Teh dan Jia Meng masing-masing didakwa atas pertuduhan bersubahat dengan Eng Wan bagi melakukan pecah amanah terhadap sebuah unit pejabat sama dengan jumlah sewa RM52,000, mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 409 kanun sama yang membawa hukuman serupa.
Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nur Aqilah Ishak menawarkan jaminan RM10,000 terhadap Chua manakala TPR Zulaaikha Mohd Apandi menawarkan jaminan masing-masing RM15,000 ke atas Teh dan Ji Meng namun peguam Felix Saw Chia Hui yang mewakili kesemua tertuduh memohon jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya tidak akan melarikan diri dan akan hadir ke mahkamah.
Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 dan 20 April depan untuk sebutan semula kes.
— BERNAMA
Leave a Reply