Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
PARTI Warisan (Warisan) yang tewas di semua enam kerusi ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak akan berputus asas sebaliknya menyusun strategi untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, parti tersebut perlu melihat ke hadapan dan melakukan persediaan untuk PRU-15.
“Keputusan PRN Johor tidak seperti apa yang kita harapkan dan masa juga tidak menyebelahi kita, namun ini bukan masanya untuk kita berputus asa.
“Kini adalah masa untuk kita menyusun semula strategi dan mengorak langkah maju ke depan sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.
“Perjuangan kita ke arah Malaysia yang lebih baik mesti diteruskan. Pada tuhan kita yakin, berpadu kita mesti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada PRN Johor, Warisan tewas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas, Pekan Nanas, Bekok, Johor Jaya, Mahkota dan Bukit Batu.
Sementara itu, Mohd. Shafie mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) atas kemenangan mereka dalam PRN Johor.
Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap kerja keras dan usaha berterusan ditunjukkan jentera parti itu serta rakyat Johor kerana sudi menerima kedatangan mereka.
“Paling penting, saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang berkempen tanpa mengenal penat lelah dan tanpa jemu untuk Parti Warisan,” ujar Ahli Parlimen Semporna itu.
Leave a Reply