Bekas pesakit Covid-19 bersyukur dapat mengundi

SEORANG lelaki orang kurang upaya (OKU) bersyukur dan gembira selepas keadaan kesihatannya beransur baik akibat dijangkiti Covid-19, sekali gus membolehkannya menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dalam Pilihan raya Negeri (PRN) Johor hari ini.

Razak Abdullah, 62, berkata dia jatuh sakit sejak setahun lalu dan keadaan kesihatannya itu bertambah buruk selepas disahkan menghidap Covid-19 pada Januari.

Walaupun dengan keadaan dirinya itu, katanya dia sanggup hadir ke pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Nong Chik di Johor Bahru, walaupun kini sudah menetap di Taman Nusantara di Iskandar Puteri.

Warga emas ini bersyukur kerana ahli keluarga sedia membantu dan menemaninya untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling.

“Sebelum ini saya tinggal sekitar Nong Chik, namun selepas berpindah saya tetap mahu mengundi di sini kerana secara tidak langsung ia dapat mengembalikan nostalgia.

“Saya lega kerana keadaan kesihatan juga mengizinkan saya mengundi walaupun terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda kerana masalah saraf.

“Saya yakin dapat memilih calon yang berkewibawaan bagi menerajui Johor,” katanya, memetik laporan Berita Harian.

Sementara itu, seorang petugas atau pemandu arah di pusat mengundi, Mohd. Faiz Mahmod berkata, pengalaman dilaluinya hari ini cukup bermakna baginya.

“Kami dapat membantu pengundi terutama OKU dan warga emas yang bersemangat untuk mengundi,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *