tosrin johor

Poster tular kononnya Tosrin calon MB Johor adalah palsu

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan bahawa calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai, Tosrin Jarvanthi akan dilantik sebagai calon Menteri Besar jika gabungan politik itu menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“SAYA tak umum sesiapa (jadi calon Menteri Besar Johor),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Majlis Pemulihan Negara (MPN) bersama komuniti agromakanan Johor di Kompleks Sukan Pagoh, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang poster tular kononnya Tosrin dipilih sebagai calon Menteri Besar Johor.

Muhyiddin turut menyifatkan penularan berita itu sebagai taktik jahat pihak tidak bertanggungjawab bagi mempengaruhi pengundi dalam PRN Johor.

“Saya pun difitnah bahawa akan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi calon Perdana Menteri, apa cerita tu? Sebab itu kita nafikan.

“Dalam tempoh mutakhir ini, banyak pihak tertekan sampai sanggup buat cerita bohong, ini semua fitnah untuk mempengaruhi pengundi.

“Saya fikir berjaga-jagalah, jangan mudah terpengaruh dengan orang berniat jahat ini. Pengundi Johor tidak akan termakan dengan taktik busuk ini,” katanya.

Sejak semalam tular poster mendakwa Tosrin merupakan calon Menteri Besar PN sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan dalam PRN Johor.

PN turut menghadapi satu lagi dakwaan palsu kononnya Muhyiddin menyatakan sokongan kepada Anwar sebagai calon Perdana Menteri Ke-10 dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) menerusi penularan sepucuk surat.

Bagaimanapun, PN menerusi kenyataan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin menafikan surat bertarikh 22 Februari 2022 itu mengatakan surat tersebut sebagai palsu dan berniat jahat.

Sementara itu, ketika ditanya laporan analisis bahawa BN bakal menang besar, Muhyiddin berpandangan, ada juga ramalan yang memihak kepada PN.

“Wallahualam. Itu ramalan, banyak ramalan pun PN menang,” jawabnya ringkas.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *