PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melancarkan Ikrar PN Untuk Johor iaitu manifesto untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan slogan ‘Demi Bangsa Johor’ mempunyai visi dan misi yang jelas untuk negeri itu.
Menariknya dan perlu diketahui terutama pengundi PRN Johor, gabungan tersebut menyediakan ikrar berteraskan lapan tunjang utama, berpacukan 24 strategi dan berlandaskan 145 pendekatan.
Lapan tunjang utama itu ialah Kepemimpinan Berintegriti dan Bebas, Keutuhan Ekonomi Johor, Keprihatinan Kepada Rakyat, Keutamaan Tangani Kos Sara Hidup, Kesejahteraan Sosial, Kecekapan Infrastruktur, Kerancakkan Sektor Pelancongan dan Kelestarian Alam Sekitar.
Dapat dilihat semua lapan tunjang tersebut sebenarnya adalah asas permulaan yang bersifat fundamental dalam memacu perkembangan dan pertumbuhan Johor dalam tempoh lima tahun ke atas.
Lapan tunjang tersebut menjadi kerangka serta hala tuju sebelum dikembang dan ditambah baik. Ini merupakan tawaran terbaik dan realistik sekali gus merupakan jalan keluar kepada kerosakan sistem pemerintahan yang dilaksanakan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
Semua asas tunjang tersebut sebenarnya dibuat berdasarkan denyut nadi rakyat yang amat dahagakan pembaharuan selain tidak sanggup lagi terperangkap dalam kitaran ganas kerajaan kleptokrat terdahulu yang mengamalkan rasuah dan salah guna kuasa.
Ikrar PN yang pertama, Kepemimpinan Berintegriti dan Bebas. Ini adalah asas kepada pemerintahan adil, bertanggungjawab dan Islamik. Jika tidak, ia akan dirosakkan dengan rasuah, salah guna kuasa dan karenah biokrasi yang melumpuhkan sistem pentadbiran.
PN melihat elemen ini sangat penting dalam kerajaan negeri yang dibentuk nanti kerana rakyat sendiri sudah menyaksikan korupsi dan kletokrasi membinasakan negara, sebagai contoh kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Tunjang kedua adalah Keutuhan Ekonomi Johor, ini juga penting kerana Johor adalah negeri progresif dan mempunyai pelbagai sumber untuk terus diteroka dengan sumber manusianya yang kompeten dan berdaya saing.
Ini amat penting apatah lagi Johor yang bersempadan dengan Singapura menerima banyak manfaat limpahan ekonomi, kelebihan dan peluang yang dinikmati itu tidak perlu dipersia-siarkan.
PN memberi tumpuan kepada keutuhan ekonomi Johor merangkumi Pelan Sedekad Ekonomi Johor 2022-2032 termasuk menyediakan pelbagai bantuan khas. Ini perlu dinilai rakyat Johor kerana menyediakan tawaran inklusif bagi memastikan tiada yang terpinggir daripada mendapat limpahan manfaat hasil pembangunan pesat di negeri ini.
Tunjang ketiga dan keempat iaitu Keutamaan Tangani Kos Sara Hidup serta Keprihatinan Kepada Rakyat adalah saling berkait dengan tunjang kedua malah saling lengkap melengkapi.
Misalnya penghapusan bayaran lesen dan sewa tapak perniagaan bagi penjaja menerusi Ikrar PN itu merupakan satu galakan untuk merancakkan ekonomi di seluruh negeri. Ini amat melegakan peniaga selepas kehidupan dihimpit pandemik Covid-19.
Begitu juga tawaran PN berkenaan penghapusan bayaran lesen dan sewa tapak perniagaan. Tawaran lain seperti pemberian kad prihatin Johor dan skim pemberian air percuma 20 meter padu kepada golongan berpendapatan rendah melihatkkan PN faham dengan keadaan terkini rakyat.
Bagi satu keluarga yang mempunyai pendapatan RM2,000 tetapi mempunyai dua anak, berbeza dengan satu keluarga lain pendapatan sama tetapi anak empat, perkara ini akan ambil kira. Ini adalah contoh dasar yang prihatin.
Sementara tunjang kelima iaitu Kesejahteraan Sosial adalah tepat pada masanya kerana Johor memerlukan satu lonjakan progresif selepas dilanda pandemik tersebut yang mengakibatkan banyak sektor terbantut dan perlahan perkembangannya.
Banyak perkara dan usaha yang perlu disusun semula menurusi tunjang tersebut selepas Johor terjejas teruk terumata aktiviti ekonominya dan ini memerlukan pelan tindakan jangka masa pendek serta panjang.
Usaha untuk mensejahterakan sosial dan menaik taraf infrastruktur akan dilakukan kerana tiada guna jika dapat tingkatkan kualiti hidup, turunkan kos sara hidup tetapi tidak wujud rasa selamat dalam diri rakyat kerana bergaduh antara kaum.
Strategi tunjang kelima itu juga dilihat sebagai langkah kepada keselamatan dan perpaduan sosial yang terkandung sekali gus memperkukuh perpaduan bangsa Johor serta memperkasa keselamatan dan ketententeraman awam.
Tunjang itu juga menggariskan lima strategi – tiga daripadanya adalah Memperhebat Generasi Pewaris Johor Melalui Pendidikan Berkualiti, Meningkatkan Penyampaian Perkhidmatan Kesihatan dan Meningkatkan Akses Rumah Mampu Milik.
Bagi tunjang keenam pula iaitu Kecekapan Infrastruktur, ini perlu dilakukan secara holistik kerana sebelum ini pembangunan seakan-akan banyak tertumpu di kawasan bandar terutama tiga bandar raya yang terdapat di Johor.
Bayangkan Johor ketika ini sebagai sebuah negeri yang maju dan bersebelahan dengan Singapura masih tidak mempunyai jaringan dan capaian internet yang pantas selain tidak menyeluruh di beberapa kawasan luar bandar.
Begitu juga kemudahan asas antaranya jalan raya masih berada pada tahap kurang memuaskan. Cuba bayangkan bandar Pasir Gudang yang dinaik taraf sebagai bandar raya pada tahun lalu, keadaan jalan raya sedia ada masih tidak memuaskan dan tidak sesuai dengan status tersebut.
Tunjang ketujuh, Kerancakkan Sektor Pelancongan adalah juga elemen yang penting kerana Johor mempunyai pelbagai destinasi pelancongan menarik malah ada pulau-pulau di Mersing yang masih ‘kosong’ dan tidak dibangunkan.
Setiap daerah di Johor mempunyai tarikan tersendiri apatah lagi bersempadan dengan negeri lain. Kelebihan dan kedudukan Johor yang berjiran dengan Singapura pula dimanfaatkan sepenuhnya untuk tujuan pelancongan.
Sementara Kelestarian Alam Sekitar yang merupakan tunjang kelapan, amat penting dan selari dengan tuntutan milennial. Kita semua sedang bergerak ke hadapan dan sebagai sebuah negara serta negeri yang maju, aspek itu tidak boleh diabaikan.
Ini adalah tuntutan global dan tunjang kelapan itu dilihat amat tepat pada masanya kerana isu pencemaran alam sekitar bukan baharu. Contohnya pencemaran Sungai Kim Kim yang sehingga kini tiada penyelesaian.
Kita tidak tahu apa tindakan yang diambil malah pencemaran bahan buangan sisa kimia masih terus berlaku tanpa dapat dikawal terutama di Pasir Gudang yang mempunyai lebih 5,000 kilang.
Begitu juga sungai-sungai di Johor yang dikategorikan sebagai antara ‘sungai mati’ dan sungai paling teruk tercemar di Malaysia. Sesuatu perlu dilakukan sebelum keadaan bertambah parah.
Kesimpulannya semua tunjang dalam Ikrar PN bukan retorik, sebaliknya komitmen realistik dan praktikal bahawa PN yang bakal membentuk kerajaan negeri nanti kelak adalah bersih, cekap dan prihatin rakyat.
Pentadbiran kerajaan negeri yang bersih dan cekap mestilah ditunjangi kepemimpinan berintegriti dan bebas rasuah selain mempunyai pelan komprehensif dan sentiasa memandang jauh ke hadapan.
Leave a Reply