Pemandu lori didakwa atas tuduhan memandu secara bahaya sebabkan kematian

Oleh RIZQI ZABIDI

SEORANG pemandu lori berdepan dua pertuduhan di Mahkamah Majistret 1 dan 2 di Sungai Petani hari ini, kerana memandu secara merbahaya hingga menyebabkan kematian dua penunggang motosikal, tiga hari lalu.

Tertuduh, Muhammad Ariff Abdullah 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sebaik
pertuduhan dibacakan terhadapnya di kedua-dua mahkamah tersebut.

Di Mahkamah Majistret 1, tertuduh didakwa memandu lori secara merbahaya hingga menyebabkan kematian Muhammad Khairul Azwan Maula Hashim, 31.

Pertuduhan dihadapinya itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Negeri, Khairul Azreem Mamat di depan Majistret, Fazlina Musa manakala tertuduh diwakili peguam, Siti Haslina Hasbullah.

Tertuduh yang berasal dari Bachok, Kelantan kemudiannya dibawa pula ke Mahkamah Majistret 2 bagi berdepan pertuduhan memandu lori secara merbahaya hingga menyebabkan kematian Mohamad Amirul Ismail, 28.

Pertuduhan tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Negeri, Nur Hamizah Mat Shah di depan Majistret, Nadhirah Abdul Rahim manakala tertuduh diwakili peguam sama.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Kilometer 92.8, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, dalam daerah Kuala Muda, Kedah kira-kira pukul 2.40 petang, 7 Mac lalu.

Kesemua pertuduhan itu dibuat dibuat mengikut Seksyen 4(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan tertuduh boleh dipenjara antara lima tahun hingga 10 tahun dan didenda antara RM20,000 hingga RM50,000.

Terdahulu, Majistret Fazlina membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM9,000 dengan seorang penjamin.

Majistret Nadhirah pula kemudiannya menetapkan kadar jaminan sebanyak RM8,000 dan tertuduh diarahkan untuk melapor diri di balai polisterdekat, sekali setiap bulan.

Kedua-dua majistret tersebut menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 28 Mac depan sementara menunggu laporan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Pupakom) serta laporan bedah siasat kedua-dua individu yang meninggal dunia.

Pada Isnin lalu, sembilan motosikal yang sedang berteduh di bawah jejambat akibat hujan lebat dirempuh sebuah lori yang dipercayai dalam perjalan dari Kelantan ke Kedah dan Pulau Pinang bagi membuat penghantaran barang.

Kemalangan itu mengakibatkan dua penunggang motosikal maut manaka tujuh yang lain cedera.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *